ISMAIL (tengah) duduki tangga ke-328 daripada 1,300 peserta.
ISMAIL (tengah) duduki tangga ke-328 daripada 1,300 peserta.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: “Trek agak senang bagi saya sebab sudah biasa dengan laluan macam ini, mungkin kalau saya seorang peserta dewasa tidak mustahil saya dapat memperoleh tempat terbaik atau naik podium,” kata pengayuh paling muda, Ismail Adli, 8, yang menyertai Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Sabtu lalu.

Ismail berjaya memintas pengayuh dewasa serta menduduki tangga ke-328 daripada 1,300 peserta profesional dan amatur yang berkayuh di trek pelbagai halangan sepanjang 35 kilometer itu.

Murid Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2 itu berkata, dia bersama pasukan Orang Johor Cycling Team (OJCT) selalu membuat kayuhan ‘off road’ yang mempunyai laluan agak sama seperti di trek UTM.

“Satu hari nanti saya ingin menjadi pengayuh basikal profesional yang tahu selok-belok sukan berbasikal lasak ini dan bercita-cita menjadikan hobi saya ini sebagai kerjaya,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu bapanya, Adli Shahriman, 40, akauntan di syarikat swasta yang juga salah peserta HMMTB berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian anaknya yang baru berusia 8 tahun mampu menyertai program berbasikal bukan calang-calang itu.

Menceritakan lanjut mengenai anak ketiga daripada lima beradik itu Adli berkata, beliau tidak menyangka Ismail mempunyai kesungguhan dan keberanian dalam berkayuh basikal terutamanya di kawasan berbukit.

“Ismail berani dan lasak. Dia mula pandai kayuh basikal ketika umur enam tahun. Selepas pandai kayuh Ismail cuba menggunakan basikal ibunya. Dalam masa dua bulan dia boleh kayuh basikal ibunya dengan baik dan memulakan aktiviti kayuhan bersama OJCT,” jelasnya.

Pada mulanya beliau agak bimbang mengenai keselamatan anaknya itu berkayuh di kawasan berbukit memandangkan anaknya masih kecil tetapi selepas melihat kecekapan dan kemahiran anaknya, Adli yakin anaknya selamat berkayuh.

“Mula-mula risau juga dengan keselamatannya, saya akan ikut belakang kalau dia berkayuh takut terjadi apa-apa. Selepas itu saya lihat dia boleh mengawal basikalnya dengan baik, saya lepaskan dia berkayuh sendiri.

“Saya amat bangga Ismail mampu menamatkan kayuhan ini. Saya harap ada pihak yang datang memberi panduan dan melatih Ismail untuk menjadi pengayuh basikal profesional, sekarang kami hanya berkayuh suka-suka tanpa panduan pakar dalam bidang ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:24 AM