BUBUR nasi.
BUBUR nasi.
SUP Merah Gear Box Kambing.
SUP Merah Gear Box Kambing.
HAFIZ menunjukkan antara hidangan di Faiqa Sup Merah dan Bubur.
HAFIZ menunjukkan antara hidangan di Faiqa Sup Merah dan Bubur.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Jarang kita lihat pengusaha gerai menjual makanan sihat seperti bubur dan sup sebagai menu utama. Lazimnya pasti ada makanan sampingan lain seperti nasi campur dan makanan bergoreng.

Berbeza dengan Lokman ­Sokran yang memberanikan diri membuka gerai menjual makanan sihat itu sebagai alternatif mempromosi sup merah yang sangat popular di selatan tanah air dan negara jiran, Singapura.

Faiqa Sup Merah dan Bubur adalah olahan air tangan istimewa hasil idea dia serta keluarga, menjadikan sup merah dan bubur nasi yang dijual berbeza dengan yang lain.

“Sebenarnya gerai kami baru lima bulan beroperasi. Menu utama adalah sup merah serta bubur nasi. Selain minat berniaga, saya mahu memperbetulkan persepsi masyarakat bahawa sup dan bubur hanya untuk orang sakit.

“Saya juga mahu memperkenalkan menu sihat dan mengenyangkan kepada orang ramai. Harga ditawarkan pula berpatutan,” katanya ketika ditemui di gerai miliknya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai bubur nasi dan sup merah boleh didapati di gerainya. Antara paling mendapat sambutan ialah Sup Merah Kambing Gear Box.

“Kami turut menyediakan Sup Merah Gear Box Ayam dan Meatball yang dihidangkan bersama roti Perancis atau nasi. Sup merah kami tidak sama dengan Singapura kerana ia disesuaikan mengikut cita rasa penduduk Malaysia.

“Bubur nasi pula disediakan bersama ‘penyedap’ seperti ikan masin atau bilis, sayur, telur masin, sambal dan bawang goreng. Kimchi turut disediakan bagi mereka yang inginkan kelainan,” katanya.

Mengenai perbezaan sup merah di gerainya berbanding Singapura, Lokman menjelaskan, sup merah buatannya sedikit masam dan berlemak.

“Saya memilih berniaga menu ini kerana di Shah Alam belum ada yang menjual seumpamanya. Biarpun masih baru, sambutan sangat menggalakkan. Mungkin disebabkan menu baru dan berbeza membuatkan orang ramai mahu tahu dan mencubanya sendiri,” katanya.

Antara hidangan yang boleh didapati di sini ialah bubur kambing, bubur gear box, bubur meatball, bubur daging, bubur kimchi dan bubur ayam. Bagi yang mempunyai anak kecil tidak perlu risau kerana menu bayi iaitu bubur nasi kosong disediakan khusus untuk si kecil.

Sementara itu, pendatang baru yang juga pengusaha bersama Faiqa Sup Merah dan Bubur, Muhammad Hafiz Roshdi, 20, atau lebih dikenali sebagai Edry dalam drama bersiri Baby Ana Milik Siapa menggemari bubur nasi yang disifatkan kenyang dan berkhasiat.

“Saya suka makanan ringkas, cepat dan mengenyangkan. Bubur nasi bukan hanya untuk mereka yang sakit, malah orang sihat juga boleh ambil sebagai menu sihat.

“Dengan hanya semangkuk bubur nasi, anda sudah kenyang seperti makan sepinggan nasi putih. Ia juga sesuai untuk makan tengah hari dan malam,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru dirinya, Hafiz berkata, kini dia sibuk berlakon drama serta telemovie selain aktif dalam bidang peragaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:01 AM