BANGUNAN pencakar langit di sekeliling Masjid Jamek Bandar Kuala Lumpur.
BANGUNAN pencakar langit di sekeliling Masjid Jamek Bandar Kuala Lumpur.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Ketika di zaman Rasulullah SAW dan sahabat, institusi keagamaan seperti masjid diangkat sebagai pusat perbincangan, pengumpulan maklumat dan ibadat untuk umat Islam.

Kegemilangan masjid ketika itu seiring dengan tujuan penubuhannya yang menghimpunkan umat Islam daripada pelbagai kabilah untuk mengangkat syiar Islam di Tanah Arab.

Tanah Melayu terutama Kuala Lumpur turut menerima sentuhan nurani itu apabila Masjid Jamek Bandar Kuala Lumpur dibuka pada 23 Disember 1909 untuk kegunaan umat Islam.

Masjid Jamek pernah menempa zaman kegemilangannya sebagai pusat sehenti bagi nelayan dan pedagang kerana lokasinya di tempat pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Ia signifikan sebagai nadi penghubung sesama manusia dari aspek sejarah dan perkembangan masyarakat.

Ia juga masjid pertama di Asia Tenggara yang menggunakan reka bentuk tiga kubah berbentuk bawang sebagai mercu kepada binaan masjid terbabit.

Pembinaan masjid bercirikan seni bina Moghul Utara India dengan kubah sebagai payung di ruang solat utama dan dilengkapi dua menara masjid yang menghadap ke arah timur menggunakan jaluran batu merah dan putih.

Batu bata merah dan ukiran tembok berwarna putih menaikkan lagi seri dan keindahan seni bina Islam yang melangkaui benua dan sempadan.

Negara ketika itu masih belum menerima angin kemodenan namun suasana aman dan mendamaikan terpancar daripada bentuk pembinaan masjid yang berstruktur mantap, ukiran unik dan anak tangga di bawah masjid sebagai laluan nelayan dan pedagang air untuk singgah.

Buktinya jelas dilihat menerusi sebuah lukisan asal pelukis yang menggunakan samaran AIF pada 1910 dan dihadiahkan kepada arkitek yang membuat reka bentuk masjid itu, Brigadier General Arthur Benison Hubback.

Beliau adalah jurutera British dan pernah berkhidmat di India.

Kegemilangan masjid berusia 106 tahun itu mendapat pengiktirafan sebagai ‘Masjid Negara’ pertama Malaysia pada 1967.

Namun, apabila kembali ke zaman ini, kegemilangan Masjid Jamek hanya tinggal sejarah akibat pembinaan bangunan pencakar langit di sekelilingnya sehingga menutup pandangan orang ramai.

Malah, kawasan sungai yang dulunya menjadi laluan pedagang dan nelayan untuk singgah di masjid dilihat semakin kotor akibat pembuangan sisa kumbahan.

Justeru, bagi mengang­kat semula kegemilangan Masjid Jamek, Sungai Nadi Kehidupan (RoL) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha mengindah dan membersihkan sungai di kawasan sekitar.

DBKL menerajui kerja-kerja pengindahan kawasan pinggiran Sungai Klang dengan kos RM1 bilion termasuk kerja memulihara warisan di sekitar Masjid Jamek.

Ia adalah inisiatif bagi memulihara dan memelihara kembali nadi perhubungan air sekali gus me­ngangkat tinggalan sejarah Masjid Jamek.

Pelaksanaan projek itu turut menemukan 30 anak tangga rahsia yang selama ini tertanam di bawah taman dalam kawasan Masjid Jamek.

Penemuan itu adalah sebahagian sejarah pembinaan Masjid Jamek yang perlu dipelihara dan dikekalkan mengikut keadaan asalnya kerana ia menjadi lambang kemegahan masjid tertua di ibu kota.

Ketua Imam Masjid Jamek Bandar Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib berkata, projek menaik taraf masjid itu bermula sejak Oktober 2012.

“Pembangunan fasa pertama masjid ini berjalan selama tujuh bulan merangkumi proses pembaikan semula bangunan dan kawasan sekitar di luar dan di dalam masjid.

“Fasa dua berjalan seiring dengan projek RoL yang menemui anak tangga yang pernah menjadi ‘jeti’ sampan selain dua kayu pancang sebagai penambat bot atau sampan.

“Meskipun keadaan pancang sudah mereput dan sebahagian tangga pecah dan hancur, proses pemuliharaan berjalan de­ngan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 12:09 PM