Antara batu nisan yang ditemui ketika kerja memulih dan mengindahkan Sungai Klang dan Gombak dilakukan.
Antara batu nisan yang ditemui ketika kerja memulih dan mengindahkan Sungai Klang dan Gombak dilakukan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 63 batu nisan abad ke-19 yang ditemui tertanam di kawasan binaan air pancut perkarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur (MJKL) pada April tahun lalu akan dipamerkan di galeri masjid berkenaan.

Ketua Pengurusan MJKL Mohd Faisal Tan Mutalib berkata, masjid itu sedang dalam proses mengubah suai kawasan untuk mewujudkan galeri itu.

“Batu nisan itu yang tertera nama dan tarikh dalam tulisan jawi, dijumpai oleh kontraktor projek ‘Sungai Nadi Kehidupan’ (ROL), sejak kerja memulih dan mengindahkan Sungai Klang dan Gombak dimulakan pada 2015.

“ROL ialah Program Transformasi Nasional bermatlamat untuk mentransformasi lapan sungai yang terletak dalam kawasan Greater Kuala Lumpur.

“(Dengan mempamerkan) batu nisan itu akan secara langsung memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai sejarah masjid tertua di Kuala Lumpur ini dan kawasan sekitarnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Masjid Jamek yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, adalah salah sebuah bangunan ikon negara yang dibina pada 1909.

Dengan adanya pameran batu-batu nisan itu, ia dapat memberi nilai tambah kepada sejarah masjid itu dan secara tidak langsung menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung.

Menurut Jabatan Warisan Negara (JWN), proses dokumentasi bergambar siap dilakukan terhadap semua batu nisan itu.

Batu nisan itu yang dianggarkan berusia kira-kira 107 tahun terdiri daripada 59 batu nisan yang diperbuat daripada batu granit, tiga batu nisan diperbuat dari batu marmar serta satu batu nisan Aceh yang dipercayai dari Tapak Perkuburan Melayu di sekitar kawasan itu yang mula digunakan pada tahun 1870an, menurut JWN.

"Dua daripadanya dipinjamkan ke Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor bagi tujuan kajian lanjut," kata JWN.

Menurut jabatan itu, Masjid Jamek Kuala Lumpur dirasmikan Sultan Selangor ke-5, Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909.

Masjid itu, menurut jabatan itu, dibina di atas tapak perkuburan dan sebelum kerja pembinaan masjid dimulakan, semua kubur dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Ampang dan Taman Ibu Kota secara berperingkat bermula 1906.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 9:26 PM