AZMI  (kiri) dan Shahira  melihat hiasan  pada dinding lorong stesen LRT di Masjid Jamek.
AZMI (kiri) dan Shahira melihat hiasan pada dinding lorong stesen LRT di Masjid Jamek.
myMetro

Kuala Lumpur: Empat daripada 85 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di bawah pengurusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diberi nafas baru menerusi kerja naik taraf dengan tema tersendiri yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abd Aziz berkata, projek naik taraf itu dilaksanakan secara berperingkat membabitkan stesen LRT Taman Jaya, Bukit Jalil, Dang Wangi dan Masjid Jamek.

Menurut Azmi, empat stesen terbabit dipilih kerana mempunyai aliran trafik paling tinggi dan selepas projek naik taraf di situ selesai, inisiatif serupa diteruskan di kawasan lain pula.

“Inisiatif itu bertujuan menceriakan lagi suasana di stesen terbabit yang menjadi persinggahan pengguna LRT di bandar raya ini setiap hari.

“Pelaksanaan projek bermula tidak lama lagi dan menariknya, kerja naik taraf itu dijalankan mengikut konsep iaitu kehijauan untuk stesen LRT Taman Jaya, sukan (stesen LRT Bukit Jalil), moden (stesen LRT Dang Wangi) dan kesenian Islamik (Masjid India),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Arts On The Move (AOTM) di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Think City Sdn Bhd merangkap Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari.

Sementara itu, Azmi berkata, AOTM antara inisiatif Prasarana dengan kerjasama Think City Sdn Bhd dalam menghidupkan lagi aktiviti kesenian serta kebudayaan di stesen LRT Masjid Jamek.

Menurut Azmi, usaha itu diharap memberi nilai tambah selain tarikan untuk warga kota serta pelancong singgah di stesen berkenaan.

“Masjid Jamek antara tempat bersejarah di bandar raya ini dan kerana itu kami mahu menghidupkannya kembali dengan aktiviti sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:37 AM