MASJID yang masih dinaik taraf.
MASJID yang masih dinaik taraf.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Masjid Jamek Kuala Lumpur (MJKL) masih belum membuat keputusan berhubung pembukaan galeri yang bakal menempatkan penemuan 63 batu nisan abad ke-19 yang ditemui tertanam di kawasan binaan air pancut di pekarangan masjid ini, sejak April tahun lalu untuk dibuka kepada orang ramai.

Ketua Pengurusan MJKL Mohd Faisal Tan Mutalib berkata, setakat ini, cadangan membuka galeri yang menempatkan batu nisan itu masih dalam proses perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa organisasi lain.

“Setakat ini, perancangan membuka galeri masih lagi di peringkat awal dan kertas kerja juga belum dibuat.

“Kini, pihak masjid masih menunggu kerja menaik taraf kawasan bagi mewujudkan galeri yang menempatkan batu nisan di situ,” katanya.

“Apabila kerja menaik taraf itu siap, MJKL akan pamerkan semua batu nisan yang dijumpai oleh kontraktor projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di galeri berkenaan kepada orang ramai.

“Batu nisan dijumpai berkenaan diletak di dalam galeri yang bertutup supaya ia selamat dan berada dalam kawalan MJKL,” katanya.

Beliau berkata, penemuan batu nisan itu pastinya dapat memberi pendedahan kepada pengunjung luar mengenai sejarah awal tapak masjid ini serta maklumat mengenai agama Islam itu sendiri.

“Dengan adanya pameran ini, ia secara langsung menjadikan tarikan tambahan kepada pelancong di samping dapat mengikis pandangan buruk masyarakat luar terhadap agama Islam.

“Bukan itu saja, melalui pameran ini, MJKL menyediakan maklumat kepada masyarakat tentang sejarah masjid, kajian yang dilakukan terhadap penemuan batu nisan itu dan sebagainya,” katanya.

MJKL turut mengalukan bantuan daripada sukarelawan yang berminat menjayakan galeri batu nisan ini dengan memberi maklumat kepada pelancong di samping menceritakan mengenai sejarah masjid ini kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:08 AM