DATUK Ahmad Jazlan Yaakub (lima dari kiri) bergambar bersama lima penerima RMR1M pada majlis penyerahan kunci di Kampung Pengkalan Durian, hari ini. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
DATUK Ahmad Jazlan Yaakub (lima dari kiri) bergambar bersama lima penerima RMR1M pada majlis penyerahan kunci di Kampung Pengkalan Durian, hari ini. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya, SPNB Mesra Sdn Bhd (MESRA) sudah membina 5,139 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) untuk penduduk di negeri ini sejak 14 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sebanyak 10,204 permohonan diterima sejak 2002 dengan 5,279 permohonan diluluskan dan ketika ini 134 unit dalam proses pembinaan.

"Bagi permohonan tidak diluluskan, selalunya kerana masalah pemilikan tanah dan tidak dapat bagi pengesahan pendapatan dengan lengkap. Perlu diingatkan rumah RMR1M memerlukan tanah milik pemohon sendiri.

"Nilai bagi setiap unit rumah RMR1M ini adalah RM65,000 dan diberi subsidi oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM20,000. Maknanya, pemohon hanya perlu bayar balik pinjaman RM45,000.

"Bagaimanapun, kita sedar masih banyak lagi senarai yang belum dipenuhi dan pihak SPNB akan cuba menyelesaikan sebahagian besar senarai pemohon yang dikenal pasti layak," katanya.

Beliau terdahulu menyampaikan kunci rumah RMR1M kepada lima penerima di majlis penyerahan Kampung Pengkalan Durian, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mesra Sdn Bhd Wan Azlan Wan Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 6:06 PM