Milan: Sebuah syarikat minyak dan gas utama Itali akan menambah pelaburan AS$300 juta (RM1 bilion) di Malaysia dan ketika ini syarikat itu mempunyai projek usaha sama dengan PETRONAS di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu disebut oleh pelabur semasa mesyuarat antara para kapten industri Itali dan beliau di sini, Jumaat lalu.

“Selain itu, Agusta, sebuah syarikat aeroangkasa Itali, juga bersetuju untuk menubuhkan pangkalan penyelenggaraan-pembaikan-baik pulih (MRO) mereka di Subang sebagai hab untuk memberi perkhidmatan kepada helikopternya yang digunakan di rantau ini,” katanya pada akhir lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari di sini, semalam.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, beberapa pelabur sudah menunjukkan minat mereka untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Muhyiddin menemui 25 kapten industri dari Milan dan Lombardy pada mesyuarat berkenaan dan sebahagian daripada mereka sudah menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Kira-kira 30 peratus daripada eksport Itali ke Malaysia adalah dari Milan dan Lombardy - dua bandar industri dan perdagangan utama.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Agusta merancang untuk menghasilkan beberapa komponennya dan integrasi sistem aeroangkasa di Malaysia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 9:22 AM