PENDUDUK kampung berdoa di hadapan kubur Tahar Mohammad, 73, yang meninggal dunia akibat dihempap televisyen oleh anaknya. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
PENDUDUK kampung berdoa di hadapan kubur Tahar Mohammad, 73, yang meninggal dunia akibat dihempap televisyen oleh anaknya. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Warga emas yang parah selepas kepalanya dihentak televisyen plasma dan meja kecil oleh anak lelakinya 3 Mei lalu meninggal dunia 9.40 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa, Tahar Mohammad, 73, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Katanya, polis sudah menahan suspek yang berusia 40 tahun pada hari kejadian dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan penuh termasuk meneliti rekod kesihatan suspek yang dikatakan pernah mendapat rawatan sakit mental di Hospital Hulu Terengganu beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian 6.30 pagi di Kampung Losong Datuk Amar, di sini, mangsa yang tinggal bersama suspek dikatakan duduk di sofa menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum dihampiri suspek yang mengamuk dan mengangkat televisyen berkenaan lalu menghentak kepala bapanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa parah di kepala dan dibawa ke HSNZ untuk dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 4:38 PM