JEANBOURQUIN menggayakan koleksi jam tangan CAT.
JEANBOURQUIN menggayakan koleksi jam tangan CAT.
 JAM tangan CAT mementingkan aspek teknikal selain berkualiti tinggi.
JAM tangan CAT mementingkan aspek teknikal selain berkualiti tinggi.
Oleh Hamizah Badiran


Berbeza dengan label popular lain, kekuatan utama jam tangan Caterpillar (CAT) ini terletak pada kepelbagaian rekaan dan himpunan menarik yang bukan saja bergaya, malah berkualiti tinggi.

Memasuki pasaran Malaysia 15 tahun lalu, banyak rekaan menarik diperkenalkan istimewa untuk penggemar fesyen yang sentiasa berani mencuba.

Pelbagai koleksi boleh didapati dan sudah semestinya, ia berbeza mengikut musim terkini.

Terbaru, jenama berkenaan menampilkan himpunan jam tangan istimewa untuk digayakan jejaka Malaysia yang gemarkan gaya maskulin, tahan lasak, kalis air, ranggi, tahan lama dan paling utama, perinciannya yang teknikal.

Meskipun berada di kawasan tropika, si pemakai masih boleh menggayakan jam berkenaan tanpa perlu tunduk kepada cuaca dan berasa selesa sepanjang hari.

Untuk koleksi Operator, CAT menampilkan rekaan klasik yang penuh sifat maskulin. Ia banyak memberi tumpuan kepada panel jam yang ditambah kemasan logam menjadikan rekaannya berada dalam kelas tersendiri.

Kekemasan jahitan pada tali jam dan bahagian dalam jam tangan yang mempunyai aturan teknikal canggih, pepiring 24 jam dan petunjuk minit memaparkan wajah futuristik, menyerlahkan lagi rekaan jam itu.

Ketua CAT Timekeeping Equipment, Olivier Jeanbourquin berkata, pemilihan jam tangan melambangkan identiti si pemakai dan pada masa sama menyuntik keyakinan diri tatkala berada dalam kalangan orang ramai.

“Menyedari keinginan pelanggan sentiasa berubah seiring perubahan masa, CAT tidak henti menghasilkan koleksi canggih, berkualiti dan mementingkan aspek teknikal setanding permintaan pasaran dunia.

“Koleksi terbaru kami sesuai digayakan sama ada untuk acara formal mahupun kasual kerana ia direka mengikut permintaan pelanggan yang selari dengan perkembangan fesyen terkini.

“Selain itu, kami juga sentiasa menerapkan ciri jenama CAT yang asalnya adalah perintis kepada pembuatan jentera atau mesin untuk industri pembuatan mahupun pembinaan,” katanya.

Atas sebab itu, setiap koleksi tidak lari daripada penggunaan warna hitam dan kuning (warna logo CAT) serta beberapa corak material di kawasan industri akan dibentukkan ke dalam rekaan jam tangan.

Beralih ke koleksi T7, jam tangan ini menyerlahkan gaya kasual, urban dan elegan si pemakai. Penggunaan monokrom hitam dan putih pada pepiring 24 jam, petunjuk minit, tarikh dan hari mampu mempamerkan kemewahan dan keanggunan yang mempesonakan.

Selain warna hitam/kuning, T7 juga mempunyai varian warna hitam/perak, biru/perak atau putih/hitam.

Tali yang diperbuat daripada silikon melengkapkan lagi penampilan sang jejaka.

Koleksi terbaru ini boleh didapati di Time Galerie, 60 Minutes dan Edessa AEON pada harga bermula daripada RM300 hingga RM700.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 2:50 PM