Kuala Kangsar: Hari keenam Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV hari ini, bermula dengan Istiadat Menziarahi Makam-Makam Almarhum Sultan dan Pemerintah Perak yang terdahulu.

Istiadat itu akan menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar pagi ini.

Pada setiap Istiadat Menziarahi Makam akan disusuli dengan majlis doa selamat serta kenduri arwah.

Kemudian Sultan Nazrin Shah dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Pada sebelah petang istiadat diteruskan dengan menziarahi makam Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) di daerah Kampar.

Pada istiadat itu hanya Sultan Nazrin Shah berangkat hadir kerana hanya kaum lelaki yang dibenarkan menziarahi makam berkenaan.

Acara hari keenam diakhiri dengan majlis berzanji dan marhaban di Masjid Ubuddiah Kuala Kangsar.

Keseluruhan 35 makam akan diziarahi bermula hari ini hingga 13 Mei kecuali pada 9 Mei.

Baginda berdua juga akan menaiki Balai Gambang untuk menziarahi lima makam iaitu Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Makam-Makam lain termasuk Makam Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26) di Bukit Chandan, Almarhum Sultan Tajul Ariffin (Sultan keempat) di Pulau Semat Manong dan Raja Sulong Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah di Kampung Tepus Belanja. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:56 AM