Ipoh: Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, akan dilangsungkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 6 Mei depan.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim berkata, baginda berkenan istiadat itu diadakan pada tarikh berkenaan atas nasihat Dewan Negara Perak bersidang 22 November lalu.

Katanya, lstiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah pada pagi hari berkenaan diikuti dengan lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal pada malam keesokannya.

“Sultan Perak bersama Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim, selanjutnya akan berangkat menziarahi makam Sultan Perak terdahulu, kemudian menghilir Sungai Perak dari Pasir Salak sehingga ke Teluk lntan.

“lstiadat pertabalan akan berakhir dengan keberangkatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mencecahkan kaki baginda di Beting Beras Basah, tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ayop berkata, pelbagai acara sedang dirancang yang turut membabitkan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Raja-Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota, selain kehadiran Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta barisan ahli Kabinet serta perwakilan asing dan tetamu dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:53 AM