Jakarta: Empat penduduk ditemui maut dan lima lagi masih hilang dalam satu kejadian tanah runtuh di Kampung Cibitung, Bandung dekat sini.

Tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat dan paip pecah pada 2 Mei lalu itu menyebabkan lapan buah rumah ditimbus.

Jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan.

Katanya, jumlah mangsa yang hilang mungkin meningkat kerana pihak berkuasa masih mengenalpasti mangsa yang hilang.

“Mangsa yang terkorban termasuklah seorang ibu, Iran Sobarna, 55, dan bayi perempuannya yang berusia setahun enam bulan.

“Dua lagi mangsa dikenali sebagai Mak Oja, 60, dan Pardi, 70,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lima lagi mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Mak Wiwi, Dedeh, Nurul, Asep Juju dan Ayi.

Tambahnya, tanah runtuh itu menyebabkan enam buah rumah roboh dan lima lagi rumah rosak teruk.

Seramai 100 penduduk dipindahkan ke sebuah dewan di kampung berkenaan selepas bimbang kediaman mereka turut diancam tanah runtuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:17 AM