Muar: Nama Mohd Hafiz Nor Azman bukan asing bagi peminat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS namun selepas setahun berehat, kelibat Hafiz kembali mencuri tumpuan bagi saingan musim ini.

Tidak menyertai sebarang perlumbaan musim lalu, penunggang berusia 19 tahun itu menjadikan tempoh rehat panjang sebagai medan buatnya untuk tampil lebih matang kali ini.

Sebagai rookie bagi kelas CP130, Hafiz dilihat sudah bersedia dan mempersiapkan diri untuk menghadapi musim ini.

“Saya mengganggap apa yang terjadi ada hikmahnya dan banyak bermuhasabah diri supaya tidak berputus asa.

“Saya memanfaatkan masa rehat panjang untuk memperbaiki kelemahan dan tidak berhenti melakukan latihan fizikal dan mental supaya lebih bersedia untuk berdepan pelumba jauh lebih berpengalaman,” jelas Hafiz.

Berpengalaman semusim beraksi dalam kelas CP115 pada 2013, bekas juara WIRA 2012 itu tidak takut mengambil risiko untuk terus beraksi dalam kelas perdana CP130.

Bagi Hafiz, ini masa yang sesuai untuk dia menimba pengalaman dan pendedahan terutama selepas menerima kepercayaan dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Ini kerana Hafiz bukan saja beraksi dalam saingan Kejuaraan Cub Prix, sebaliknya pelumba kelahiran Ipoh itu juga turut beraksi dalam saingan Piala Impian Asia pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).

“Tahun ini saya diberi tanggungjawab besar oleh Honda yang mana selain beraksi pada Kejuaraan Cub Prix, saya juga akan beraksi di Asia. Justeru saya perlu bekerja lebih keras dan beraksi dalam kelas CP130 wajar kerana saya berpeluang belajar banyak perkara dengan lebih cepat sewaktu bersaing dengan pelumba berpengalaman.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:15 AM