Kuala Lumpur: Hadir dengan gelaran selaku juara bertahan, pemilik pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini tidak berani memandang mudah saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 bermula di Temerloh, Pahang, hujung minggu ini.

Dianggap antara pasukan pilihan bagi musim ini selepas meraih gelaran berganda individu dan berpasukan CP130 musim lalu dengan mengatasi juara tiga musim berturut-turut, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Yuzy percaya cabaran pasti lebih getir buat mereka.

“Gelaran diraih pada musim lalu bukanlah satu kelebihan kepada kami sebaliknya saingan pasti lebih sengit dan kami akan menjadi sasaran pasukan lain,” jelas Yuzy.

Berikutan kekosongan ditinggalkan juara CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi yang beralih ke saingan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia, Yuzy membuat keputusan meletakkan pelumba CP115, Mohd Amirul Ariff Musa dan Mohd Rozaiman Mohd Said ke kelas CP130 untuk digandingkan bersama S Sasitharen.

Penyenaraian itu juga selari dengan perubahan peraturan dilakukan Penganjur Kejuaraan Cub Prix, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) yang membenarkan setiap pasukan menyenaraikan tiga pelumba dalam kelas CP130 dengan dua keputusan terbaik digunakan dalam pungutan mata keseluruhan berpasukan.

Perubahan peraturan ini juga menyaksikan setiap pasukan mendaftarkan tiga pelumba untuk CP130 dan menyaksikan pertambahan pelumba muda berbakat dalam kelas perdana itu.

Meskipun tanpa kehadiran Zaqhwan, Yuzy yakin barisan pelumbanya masih mampu memberikan cabaran sengit di litar.

Keyakinannya ditambah dengan catatan baik yang direkodkan sewaktu sesi ujian tidak rasmi pasukan baru-baru ini.

Selain CP130, Yuzy turut menamakan pelumba untuk beraksi dalam kelas CP115 dengan mempertaruhkan pemenang tempat ketiga keseluruhan kategori Wira musim lalu, Mohd Afiki Supaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:31 AM