Sukhairi Thani


KALENDAR musim 2018 bakal menjadi padat buat pelumba negara, Zaqhwan Zaidi (gambar) apabila dijadual menyertai tiga kejuaraan utama dengan yang terbaharu Kejuaraan Seluruh Jepun.

Saingan baharu pelumba negara itu secara tidak langsung bakal menambahkan lagi jadual musim perlumbaan buat dirinya tatkala dia turut beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia.

Namun, fokus utama Zaqhwan kini terarah kepada perlumbaan dalam kelas JSB1000 di Kejuaraan Seluruh Jepun kerana ia bakal catat sejarah selaku pelumba pertama negara yang beraksi sepenuh musim di negara matahari terbit itu.

“Tahun depan ada tambahan lagi iaitu di Seluruh Jepun,” kata bekas pelumba Moto2 itu yang bakal bersama pasukan Honda Team Asia di Jepun nanti. “Saya akan beraksi dalam kelas JSB1000 yang menggunakan jentera 1,000cc.

“Jadual (perlumbaan) akan menjadi padat dan ada pertindihan jadual (antara kejuaraan disertai), namun fokus utama kami kini kepada saingan dalam kelas JSB1000.

“Sekiranya ada pertindihan jadual dengan ARRC ataupun Cub Prix, kami akan mengutamakan JSB1000 sebab matlamat kami kini kepada perlumbaan di sana.”

Zaqhwan terlepas gelaran juara disandangnya di tangan Azlan Shah Kamaruzaman dalam saingan SuperSports ARRC 2017 dan hanya menduduki tangga ke-11 dalam perlumbaan kelas 150cc, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Mengulas mengenai prestasinya tahun ini, pelumba berusia 22 tahun itu berkata: “Musim ini lebih mencabar daripada tahun lalu kerana tahun ini perebutan gelaran keseluruhan di Asia begitu sengit. “Apapun, saya masih berpuashati dengan prestasi saya tetapi agak kecewa kerana tidak dapat menambah lebih banyak mata disebabkan terjatuh. Saya akan bersaing dengan lebih baik lagi pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 2:00 PM