Paris: Kartunis Perancis dari majalah satira Charlie Hebdo, Renald Luzier atau lebih dikenali sebagai Luz berkata dia tidak akan melukis gambar Nabi Muhammad (SAW) kerana sudah hilang minat.

Luz pelukis muka depan majalah dengan karikatur Nabi Muhammad (SAW) selepas serangan berdarah di pejabat Charlie Hebdo, Januari lalu, berkata: “Saya sudah bosan dengannya sebagaimana bosan melukis (bekas Presiden Nikolas) Sarkozy, malah tidak akan menghabiskan seluruh hidup hanya melukis mereka.”

Al-Qaeda di Yaman mengakui bertanggungjawab bagi serangan di Charlie Hebdo berkenaan membabitkan dua lelaki bertopeng yang menembak mati 12 orang dan dua pegawai polis di pejabat majalah mingguan itu di Paris, 7 Januari lalu.

Muka depan edisi pertama majalah itu selepas serangan berkenaan menggunakan lukisan menggambarkan Nabi Muhammad (SAW) menangis memegang tanda ‘Je suis Charlie’ (Saya adalah Charlie) di bawah kata-kata ‘Semuanya diampuni.’ - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:08 AM