POLIS Pakistan menggunakan meriam air untuk menyuraikan pelajar sebuah madrasah yang berarak membantah majalah Charlie Hebdo, di Karachi, semalam.
POLIS Pakistan menggunakan meriam air untuk menyuraikan pelajar sebuah madrasah yang berarak membantah majalah Charlie Hebdo, di Karachi, semalam.
AFP

Karachi: Polis Pakistan menembak gas pemedih mata dan meriam air terhadap kurang-kurang 200 penunjuk perasaan di luar konsulat Perancis di selatan bandar raya ini semalam apabila demonstrasi membantah kebiadapan majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, bertukar ganas.

Ia kejadian pertama membabitkan kemarahan orang ramai terhadap kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi ganas di negara itu.

Minggu lalu, 17 orang dilapor terbunuh di Perancis dalam keganasan selama tiga hari bermula dengan serangan ke atas Charlie Hebdo yang terkenal kerana kartunnya yang menghina Islam dan agama lain.

Edisi pertama majalah berkenaan sejak serangan itu yang diterbitkan Rabu lalu memaparkan kartun Nabi Muhammad SAW di muka depannya yang dianggap penyokongnya sebagai seni.

Bagaimanapun, bagi umat Islam, ia dianggap satu provokasi dan kebiadapan terbaru majalah mingguan itu.

Di Karachi, penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar, berkumpul di luar pejabat konsul pada petang Jumaat sambil melaungkan slogan.

Bagaimanapun, keadaan kemudian bertukar menjadi ganas.

Polis sebelum itu sudah mengepung beberapa jalan raya menuju ke pejabat berkenaan.

Menurut seorang wartawan Reuters, beberapa penunjuk perasaan membawa senjata dan dia melihat mereka melepaskan tembakan selepas pihak keselamatan menggunakan meriam air dan gas pemedih untuk menghahalang orang ramai daripada berarak menuju ke pejabat konsul berkenaan.

Jurucakap polis berkata, seorang jurugambar AFP cedera dalam pertempuan.

“Jurugambar AFP Asif Hasan luka akibat tembakan yang dilepaskan penunjuk perasaan. Polis tidak melepaskan sebarang tembakan,” kata pegawai kanan polis Abdul Khalique Shaikh.

Sekurang-kurang tiga orang awam cedera dan dibawa ke hospital, seorang daripada mereka parah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:03 AM