Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-44 pada 16 Mei depan bertemakan 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Guru itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad.

Kedah akan menjadi tuan rumah untuk Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini dengan pelbagai pengisian programmenarik selama tiga hari bermula 14 Mei.

Kamalanathan berkata, pemilihan tema hari guru itu selaras dengan hasrat murni kementerian untuk menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Selain itu, bagi memudahkan mereka yang berada di luar negara menyampaikan ucapan penghargaan kepada guru masing-masing, laman sosial Facebook dan Twitter Hari Guru 2015 turut dilancarkan selain penyampaian kain rentang serta poster kepada semua Pengarah Pendidikan negeri.

"Antara program yang akan diadakan di sekitar Alor Setar dan Jitra termasuk pelancaran Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru; Wacana Intelek Keberhasilan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan majlis bacaan Yasin, tahlil, solat hajat dan forum agama," katanya.

Menurutnya, acara kemuncak iaitu Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 pada 16 Mei depan pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 1:50 PM