Hazril Md Nor


Doom, permainan tembak-menembak berpaksi pada elemen ganas, kepantasan dan agresif. Selepas sekian lama, akhirnya peminat kini boleh menarik nafas lega selepas 12 tahun menunggu keluaran baru.

Diberi nama DOOM, judul keempat ini memperlihatkan pembaharuan dari segi grafik, ciri permainan baru dan ‘multiplayer’.

Teknik penceritaan

id Software dengan kerjasama Bethesda Softworks menyempurnakan naratif permainan dengan mengekalkan identiti asal Doom. Ini boleh dilihat pada teknik penceritaan daripada perspektif karakter utama iaitu pemain itu sendiri.

Langkah ini mewujudkan perspektif orang pertama ataupun ‘first person’ apabila anda dapat menyaksikan karakter anda menggerakkan plot dengan berkesan tanpa bergantung kepada kekuatan identiti karakter bantuan.

Kempen perseorangan

Seperti biasa, anda diberi akses mod perseorangan untuk mencuba pelbagai kandungan baru.

‘Rune trials’ antara ciri permainan yang wajar diberi perhatian. Sekiranya anda berjaya menyiapkan tugasan, ‘rune’ boleh diakses dan berupaya menambahkan kekuatan karakter.

Contohnya ‘Rune’ Saving Throw mampu menyelamatkan karakter anda daripada kematian dan seterusnya mengembalikan nyawa.

Glory kills

Sistem baru dikenali sebagai ‘glory kills’ terbukti menambahkan keseronokan anda menghapuskan makhluk jahat di planet Marikh itu.

Apabila mereka menerima serangan pada kadar tertentu, kelipan berwarna oren dan biru akan muncul di skrin untuk anda melaksanakan serangan jarak dekat. Lebih menarik, keberkesanan taktik ini mengurniakan penambahan nyawa kepada karakter.

Teroka dan cari

Tidak banyak rasanya permainan FPS yang mengajak pemain meneroka untuk mencari barang tersembunyi.

Justeru, DOOM cuba mengetengahkan idea ini dengan mereka peta yang lebih kompleks sekali gus mengelakkan pengembaraan linear.

Bagi mod perseorangan, lebih seronok menghapuskan makhluk jahat di samping mencari bilik tersembunyi dan secara tidak langsung mengelak anda rasa bosan ketika bermain.

Multiplayer dan SnapMap

Lebih 6 mod ‘multiplayer’ diperkenalkan dalam judul terbaru Doom ini. Sebagai contoh, mod ‘Warpath’ antara kelainan yang ingin ditonjolkan kepada pemain.

‘Warpath’ mengajak pemain melakar strategi baru yang memerlukan anda berlumba menawan bendera.

Menariknya, kawasan bendera ini sentiasa bergerak jadi anda perlu menggunakan teknik permainan berbeza dan tidak mengharapkan teknik ‘camping’ di satu kawasan sama.

‘Snapmap’ pula adalah hak kebebasan kepada pemain untuk mencipta ‘level’ Doom dengan sentuhan tersendiri. Ini menggalakkan unsur kreativiti diterapkan dalam permainan sekali gus me­ngubah peta Doom sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 11:18 AM