RONDA tarik perhatian peminat filem apabila menyatakan minat memegang watak Captain Marvel.
RONDA tarik perhatian peminat filem apabila menyatakan minat memegang watak Captain Marvel.

Ratu rancangan bual bicara Ellen DeGeneres ialah peminat setia Ronda Rousey (gambar) sejak dia tampil dalam program beliau.

Baru-baru ini, Ellen memuat naik video menakjubkan yang menunjukkan perjalanan pejuang ini sejak kecil hingga menjadi seorang juara.

Ellen menyifatkan Juara Bantamweight UFC itu sebagai teladan bagi wanita.

Beliau menyiarkan video menakjubkan atlet tempur berkenaan dan berkata: “Golongan gadis boleh membesar menjadi apa yang mereka mahukan. Lihat saja rakan saya, atlet tempur UFC, Ronda Rousey”.

‘Rowdy’ bermula dengan sukan judo pada usia 11 tahun dan dilatih ibunya yang turut membuat penampilan khas dalam video berkenaan manakala watak Ronda dilakonkan adiknya sendiri.

Ronda, 28, menulis di Facebook: “Promo UFC 193 yang menakjubkan. Malah adik perempuan juga melakonkan watak saya ketika muda!”

Dalam UFC 193, juara gabungan seni mempertahankan diri yang memiliki 12 kejuaraan tanpa kalah itu, bakal berdepan Holly Holm yang mengumpul sembilan rekod bersih.

Pertarungan itu bakal menyaksikan pertarungan dua wanita yang mampu menarik kumpulan penyokong terbesar UFC di Stadium Etihad di Melbourne dengan kapasiti 60,000 penonton.

Ronda turut mencuba bakat dalam bidang lakonan apabila membintangi filem Expendables 3 bersama Sylvester Stallone.

Di antara peminatnya termasuklah Hulk Hogan dan Mike Tyson tetapi dia juga terbabit dalam pertelagahan berprofil tinggi dengan peninju Floyd Mayweather dan tidak teragak-agak mahu berdepan peninju veteran Tank Abbott yang mencabarnya dalam pertarungan antara jantina.

Ronda, atas sokongan peminatnya juga melobi untuk berlakon sebagai Captain Marvel dalam francais adiwira Marvel Comics selain mengesahkan akan memegang watak yang pernah didukung Patrick Swayze dalam versi baru filem Roadhouse.

Sewaktu tampil dalam rancangan Ellen, dia memberi kejutan buat kaum wanita apabila mendakwa menerima bayaran tertinggi dalam MMA, mengatasi atlet tempur lelaki.

Selain dilatih ibunya, AnnMaria De Mars yang juga juara judo dunia, Ronda juga di bimbing Gene LeBell, mentor kepada legenda gusti WWE, ‘Rowdy’ Roddy Piper dan kemudiannya memberi gelaran itu kepada Ronda.

Ronda juga wanita Amerika Syarikat pertama yang memenangi pingat Olimpik dalam acara judo, sebelum mengubah haluan kepada MMA dan dianugerahkan gelaran pertama UFC bagi wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 8:38 AM