Jakarta: Penyanyi dangdut Ridho Rhoma (gambar) menyangkal laporan yang mendakwa dia mabuk ketika kemalangan di Jakarta, kelmarin.

“Saya ingin membetulkan laporan media. Memang betul saya kemalangan Ahad lalu. Tetapi saya tidak mabuk,” kata Ridho dalam akaun Twitternya.

Ridho, anak raja dangdut Indonesia Rhoma Irama berkata, dia sedar seperti biasa ketika kemalangan berkenaan dan meminta pihak lain, khususnya media supaya tidak membuat laporan yang mengelirukan mengenai musibah yang menimpanya.

“Laporan kononnya saya mabuk tidak benar. Alhamdulillah, kemalangan itu tidak menyebabkan kematian,” kata penyanyi itu.

Mengenai mangsa yang cedera, Ridho berkata, dia sudah menyelesaikannya secara baik.

“Mangsa yang cedera, keluarganya dan saya duduk berbincang dan menyelesaikan kes itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:26 AM