Kuala Lumpur: Tidak mahu berputus asa, lima pendaki Misi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Everest 2015 yang terkandas di Everest Base Camp (EBC), Kathmandu, Nepal ketika gempa bumi baru-baru ini mencuba sekali lagi menawan puncak tertinggi dunia itu tahun depan.

Menurut jurulatih kumpulan itu Azim Afif Ishak, kali ini mereka menggunakan laluan Tibet berikutan kawasan berkenaan risiko berlakunya bencana alam sangat rendah.

“Tetapi laluan itu ada cabarannya tersendiri selain lebih jauh ia juga terdedah kepada angin kuat akibat kawasan lebih terbuka namun kami teruskan cubaan pada April hingga Jun tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penghargaan kumpulan pendaki berkenaan yang turut dihadiri Pro Canselor UTM Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Naib Canselor Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Empat pendaki lain yang hadir ialah Anis Zulaikha Zabani, Jamhuri Jumari, 27, Farul Aidib Mohamad Yusoff, 21 dan Azham Afzanizam Hamzah, 27.

Pada awal bulan ini mereka terpaksa pulang lebih awal dan menangguhkan misi pendakian apabila kerajaan Nepal mengisytiharkan pendakian ke Puncak Everest ditutup pada musim ini berikutan bencana berkenaan.

Sementara itu, Azim Afif menafikan dakwaan kumpulan itu mendapat ‘nasihat’ yang salah daripada individu kurang berpengalaman sehingga mereka terpaksa membatalkan misi berkenaan.

“Bukan kehendak kami untuk pulang tetapi disebabkan kerajaan Nepal menutup Gunung Everest untuk keselamatan kepada pendaki malah bukan kami saja yang pulang tapi semua pendaki,” katanya.

Dalam pada itu Salleh berkata, UTM berbangga dengan pencapaian pelajarnya.

Ini kerana, menurutnya, apa yang dilakukan menyumbang kepada universiti dan menaikkan nama UTM.

“Pelajar lain juga bersemangat untuk menjadikan mereka contoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:59 AM