Nilai: Arina Development (M) Sdn Bhd (Arina) yang membangunkan Menara Arina Uniti di Kampung Baru Kuala Lumpur bernilai RM32 juta yang siap pembinaannya pada siap Mac lalu bakal memperkukuhkan lagi kedudukan pemaju hartanah Bumiputera.

Suite perniagaan 21 tingkat di Jalan Raja Muda Abdul Aziz itu adalah projek hartanah terbesar dilaksanakan syarikat itu.

Pengarah Urusan Arina Datuk Jamal Mohd Amin berkata, menara berkonsep moden terdiri daripada 130 unit ruang perniagaan bersaiz antara 250 meter hingga 650 meter persegi.

Beliau berkata, menara itu menyediakan pelbagai kemudahan dengan enam aras dikhaskan untuk tempat letak kereta membabitkan 96 petak, selain kemudahan berpusat seperti bilik mesyuarat, mini teater, kafeteria dengan kemudahan Internet serta ciri keselamatan lain termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, Menara Arina Uniti kini menunggu Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijangka diterima akhir bulan ini.

“Kami gembira menyiapkan pembangunan Menara Arina Uniti di kawasan strategik sebagai pusat ekonomi dan sosial orang Melayu serta yakin memperkukuhkan lagi penjenamaan Arina.

“Sehingga kini 90 peratus daripada unit suite ditawarkan dijual manakala baki ruang perniagaan dibuka untuk jualan atau sewaan dengan kadar bermula daripada RM4 sekaki persegi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jamal berkata, majoriti pembeli terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera serta usahawan dari Lembah Klang, selain pantai timur yang ingin mengembangkan jaringan perniagaan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kemudahan berpusat seperti bilik mesyuarat, mini teater, dewan mini dan ruang santai disediakan di tingkat 20 yang memaparkan panorama ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:04 AM