JAMAL (empat dari kiri) dan Dr Mohd Hatta (tengah) pada majlis pelancaran Pusat Inkubator Produk Halal di ibu negara.
JAMAL (empat dari kiri) dan Dr Mohd Hatta (tengah) pada majlis pelancaran Pusat Inkubator Produk Halal di ibu negara.
Zaitie Satibi

Dalam usaha meluaskan skop aktiviti dan bimbingan kepada usahawan kecil serta sederhana sehingga mampu mengeksport produk mereka ke luar negara, Kumpulan Uniti Asia menubuhkan Pusat Inkubator Usahawan Produk Halal di ibu negara, baru-baru ini.

Pusat inkubator yang diuruskan anak syarikatnya, Uniti Office menyediakan kemudahan pejabat secara alam maya, ruang pejabat yang moden, lengkap dan murah serta bimbingan dari segi pengurusan perniagaan.

Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd Amin berkata, ia turut mencipta sejarah dengan menjadi syarikat pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Inkubator Usahawan Produk Halal berkenaan yang turut bertujuan membantu mereka yang baru memulakan perniagaan dengan menyediakan ruang premis.

“Sehingga kini kami membantu 70 usahawan dalam pelbagai bidang bagi mengisi keperluan usahawan muda yang boleh menjadi pelapis dalam sektor masing-masing seperti tanaman atau pemprosesan makanan.

“Pusat ini juga bagi membantu meringankan beban usahawan ketika peringkat awal membangunkan perniagaan, malah kami menjangkakan usahawan akan menggunakan kemudahan ini untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan dan luar negara,” katanya berucap di majlis pelancaran di Menara Arina Uniti, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli. Turut hadir, Pengurus Besar Teknologi Park Malaysia, Azrai Shuib.

Jamal berkata, syarikat yang dibimbing mendapat manfaat daripada kemudahan pejabat yang di sediakan Uniti Office bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan dan luar negara.

“Beberapa syarikat berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Indonesia dan Thailand. Antara syarikat yang berjaya menembusi pasaran Thailand ialah permainan kanak-kanak.

“Pada majlis ini juga kami melancarkan Uniti Office Business Group (UOBG) yang akan memainkan peranan mewujudkan jaringan perniagaan dalam kalangan usahawan kami untuk mengembangkan perniagaan mereka dan membantu usahawan baru,” katanya.

Turut diadakan beberapa upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pelbagai syarikat dan agensi bertujuan melonjakkan jualan produk halal syarikat tempatan dan memperkenalkan produk tempatan dan luar negara.

Antara MoU yang ditandatangani ialah Dris Global Sdn Bhd bersama JC Scope Marketing, Uniti Trading bersama Teknologi Park Malaysia dan Uniti Marshal bersama Dinstar.

Uniti Asia melalui Uniti Trading menandatangani perjanjian persefahaman dengan Teknologi Park Malaysia untuk bekerjasama dalam pengurusan pusat inkubator dan menyediakan perkhidmatan mentor dan latihan kepada usahawan inkubator.

JAMAL (kiri) dan Dr Mohd Hatta (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif DRIS Global Sdn Bhd, Dr Iskandar Mahmud melancarkan produk terbaru keluaran tempatan, Pau UMMIE’s.
JAMAL (kiri) dan Dr Mohd Hatta (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif DRIS Global Sdn Bhd, Dr Iskandar Mahmud melancarkan produk terbaru keluaran tempatan, Pau UMMIE’s.

“Dris Global Sdn Bhd yang juga syarikat milik anak tempatan pula akan melancarkan produk terbarunya, pau jenama UMMIE’s selepas kejayaan mengembangkan produk lain keluarannya di beberapa negeri manakala Uniti Educational Toys yang juga anak syarikat Uniti Asia akan melancarkan produk terbarunya, Artera InUtero

“Uniti Marshall, satu lagi anak syarikat Uniti Asia yang dilantik sebagai pengedar bagi DinStar, antara syarikat komunikasi terbesar dari China akan menandatangani MoU dengan UEEC, Kolej Uniti bagi melahirkan usahawan dalam bidang komunikasi,” katanya.

Jamal berkata, dengan penubuhan pusat inkubator itu diharap lebih ramai usahawan terutama mereka yang ingin menempatkan diri dalam pembangunan fasa pertama mengambil peluang kemudahan disediakan sehingga berjaya bergerak sendiri dan mempunyai kewangan yang stabil.

“Pusat inkubator ini adalah satu cara untuk membangunkan syarikat usahawan di samping membantu mereka untuk bertahan dan meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi yang memerlukan bimbingan dan bantuan.

“Program ini juga menyediakan saluran bantuan perniagaan dan kemudahan pejabat untuk perniagaan baru dengan matlamat antaranya mewujudkan pekerjaan dalam masyarakat, meningkatkan persaingan komuniti dalam keusahawanan, membantu perniagaan bertahan dengan lebih lama, mewujudkan atau menambah pendapatan industri tempatan serta memperkukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:21 PM