OMARDIN (duduk) menyampaikan insentif kepada atlet karate negara.
OMARDIN (duduk) menyampaikan insentif kepada atlet karate negara.

Kajang: Kecemerlangan skuad karate negara pada temasya Sukan Asia Incheon September lalu diraikan pada Majlis Penyampaian Insentif Persatuan Karate Kibokan Malaysia (PKKM) yang berlangsung di Hotel Prescott, malam tadi.

Pada saingan di bumi Incheon itu, skuad karate menyerlah dengan dua emas dan dua gangsa, melepasi sasaran satu emas disasarkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Syakilla Salni Jefry Krisnan yang menyertai acara bawah 61 kilogram muncul atlet karate wanita kedua Malaysia meraih emas Sukan Asia sejak S Premila di Busan 2002, manakala satu lagi emas disumbangkan Lim Che Wei dalam saingan kata lelaki.

Karate turut menyumbang gangsa menerusi S Senthil (bawah 55kg lelaki) dan Shree Sharmini Segaran (bawah 68kg wanita).

Menurut Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM) Tan Sri Omardin Mauju berkata, kejayaan atlet sukan seni mempertahankan diri itu menunjukkan kualiti dimiliki barisan atlet negara kini setanding dengan negara luar dan beliau berharap kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus membangunkan sukan mempertahankan diri itu ke tahap lebih tinggi seperti Sukan Olimpik.

“Saya ucap tahniah kepada pemenang kerana mengharumkan nama negara di Sukan Asia baru-baru ini.

“Daripada tiga jenis sukan seni bela diri itu, karate dan wushu begitu membanggakan kita dan saya harap KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) akan terus meningkat pada masa-masa akan datang.

“Di samping itu, saya menyeru KBS memberi perhatian lebih serius selepas ini demi meningkatkan kualiti atlet supaya kejayaan diraih tidak hanya terhenti di sini saja,” katanya yang mewakili kesemua badan persatuan seni mempertahankan diri negara.

Pada majlis yang turut dihadiri Presiden PKKM Soke M Panneerselvam itu, pemenang pingat emas dan gangsa menerima insentif RM1,000 seorang bagi menghargai sumbangan di atas kejayaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:10 AM