OGY dakwa pelakon baru tiada ilmu, sering abai penghayatan watak punca gagal bertahan.
OGY dakwa pelakon baru tiada ilmu, sering abai penghayatan watak punca gagal bertahan.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Pembabitannya dalam dunia lakonan bermula sejak usia 10 tahun dan hingga kini Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, 53, dianggap antara pelakon hebat tanah air.

Beberapa kali menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) dan pengarah dikenali, Ogy memilih untuk bersikap jujur apabila memperkatakan pelakon baru sedia ada.

Bertemu dengannya di majlis pelancaran buku 30 Living Legends yang memberi pengiktirafan kepada 30 insan seni atas pencapaian masing-masing baru-baru ini, Ogy anggap apa yang dicapainya kini berkat didikan ibu bapanya, seniman Datuk Ahmad Daud dan seniwati Saadiah.

Katanya, dia melihat kebanyakan pelakon baru lebih ghairah mengejar populariti hingga mengabaikan penghayatan watak.

Baginya, pelakon perlu menggali ilmu sebanyak mungkin bagi membolehkan mereka menjiwai watak dengan lebih mendalam.

“Untuk menjadi pelakon yang bagus, mereka bukan saja perlu memahami watak malah mesti tahu semua perkara termasuklah situasi, ruang serta kerja kamera.

“Tanpa ilmu yang cukup, tidak hairanlah mengapa ramai yang bertahan seketika cuma. Muncul pelapis baru yang lebih popular, nama mereka kian tenggelam. Itulah bayaran diterima apabila bersandarkan populariti,” katanya.

Bagi Ogy, pelakon semusim wujud kerana mereka tidak ada ilmu sedangkan industri kita perlukan pelapis tetapi biarlah yang berilmu.

“Apabila tiada ilmu, macam mana nak hayati watak? Macam mana nak pastikan lakonan itu sampai dan dapat dirasai penonton?

“Kalau tahu kurang ilmu di dada, masuklah kelas lakonan. Saya perhatikan tidak ramai pelakon masa kini ada inisiatif masuk kelas lakonan secara insentif. Masing-masing lebih seronok mengejar nama dan populariti,” katanya.

Dari pengalamannya mengajar pelakon menjiwai watak untuk filem tertentu seperti Lagenda Budak Setan, Ogy akui majoriti pelakon baru tidak mendalami skrip. Apabila ditanya apa yang mereka faham mengenai skrip, tidak ramai yang boleh bercerita secara menyeluruh.

“Kalau mengajar pelakon, saya akan jumpa mereka sebelum kelas bermula. Perkara pertama saya tanya ialah mengenai naskhah untuk melihat apakah mereka faham cerita dalam naskhah itu.

“Saya dapati 95 peratus pelakon baru hanya boleh cerita permukaan skrip dan mereka tidak lihat skrip itu daripada pelbagai sudut.

“Itu bermakna baru pertama kali baca skrip dan tidak melakukan kajian terperinci. Saya tidak nafikan ramai takut dengan saya tetapi saya jelaskan kepada mereka kenapa saya perlu tegas dan keluarkan apa yang mereka patut tahu.

“Mereka hanya lihat daripada satu sudut padahal mereka kena cungkil apa yang ada disebalik watak. Saya dididik mencungkil prinsip 5W iaitu siapa, apa, di mana, bila dan bagaimana. Barulah kita nampak watak.

“Saya tegur bukan bermakna saya benci atau tidak suka sebaliknya kerana saya sayangkan bakat pelakon itu,” katanya.

Ogy tidak menafikan ada segelintir pelakon cepat tangkap ilmu lakonan diturunkan seperti Que Haidar, Lisa Surihani dan Farid Kamil. Malah Ogy turut memuji bakat baru yang menunjukkan lakonan cemerlang seperti Zara Zya, Amerul Affendi dan Zoey.

“Jadi pelakon kena ada ilmu di dada. Kalau tak tahu belajar. Keith Foo misalnya, dalam Langit Cinta dia terbawa-bawa imej macho yang sudah sebati dengan dirinya. Saya cuba sedarkannya perkara itu. Dia kena faham watak, baru boleh jiwai. Selepas itu dia okay.

“Mas Muhaini pun antara pelakon yang menunjukkan kesung­guhan mahu belajar. Dia pernah menghubungi saya berkali-kali minta saya ajar dia. Semangat seperti inilah yang kita mahu,” katanya.

Ogy berkata, bukan hanya pelakon perlu ada ilmu lakonan, pe­ngarah serta semua yang terbabit dalam produksi juga mestilah ber­ilmu. Melalui ilmu, mereka akan menghasilkan produk yang bagus dan realistik.

“Pengarah juga kena tahu ilmu lakonan. Dia yang berada depan skrin dan tahu sama ada lakonan pelakon sampai atau tidak, begitu juga dengan intonasi suara pelakon.

“Semua orang kena main peranan termasuklah jurusolek. Takkan nak bersolek mapan sepanjang masa, tengoklah kese­suaian adegan. Takkan nak tidur pun pakai bulu mata palsu?

“Kalau jadi orang kampung, saya tak akan bersolek. Saya akan biarkan muka saya berminyak, biar nampak realistik. Di rumah kita tak bersolek mapan pun, jadi kenapa dalam skrin nak kena bersolek pula? Sebab itulah saya kata pentingnya ilmu,” katanya.

Menurutnya, ketika mengajar generasi muda, tiada istilah lokek ilmu dalam dirinya. Semua ilmu dan rahsia kejayaannya akan diperturunkan termasuklah penghayatan watak, bagaimana mahu mengekalkan tenaga lakonan serta bagaimana mengetepikan gangguan bagi mengelakkan hilang fokus ketika bekerja.

“Disiplin turut memainkan peranan penting. Disiplin juga bukan hanya datang awal ke lokasi tetapi menghormati pengarah dan pelakon lain.

“Saya perhatikan ada pelakon leka bermain telefon di lokasi penggambaran. Bagi saya, mereka tidak hormat pengarah dan pelakon lain. Sepatutnya mereka fokus dan bukannya tenggelam dalam dunia sendiri.

“Saya pernah tendang kamera gara-gara pelakon tidak berdisiplin. Saya terus keluarkan namanya daripada senarai pelakon,” katanya.

Ogy juga me­nyifatkan formula mengutamakan pelakon popular yang diguna pakai stesen televisyen dan produksi sebagai membunuh industri serta nilai seni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:07 AM