New Delhi: Seorang anggota Parlimen parti pelampau Hindu BJP yang terkenal kerana membuat kenyataan kontroversi, menuntut undang-undang ketat perancang keluarga dilaksanakan bagi mengawal pertumbuhan populasi India.

Sakshi Maharaj mendesak kerajaan menggugurkan hak mengundi terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang itu.

“Apabila penganut Hindu memilih untuk dimandul, penduduk Islam juga perlu menjalaninya. Undang-undang itu perlu dipatuhi semua orang.

“Tidak adil jika kita mengehadkan empat anak dalam satu keluarga Hindu sedangkan penduduk Islam boleh memperoleh 40 anak dari empat isteri.

“Ketika negara ini merdeka, populasi India hanya 300 juta. Kini, jumlahnya, 1.3 bilion. Siapa yang bertanggungjawab? Kerajaan dan pembangkang perlu bersatu untuk melaksanakan undang-undang perancang keluarga ini. Mereka yang tidak mematuhinya perlu digugurkan hak mengundi,” kata Maharaj.

Dia berkata demikian selepas seorang lagi pemimpin pelampau Hindu Sanjay Raut, dalam tulisannya di sebuah akhbar minggu lalu mendesak supaya hak mengundi penduduk Islam digugurkan dengan alasan mereka menjadi ‘bank mengundi.’

“Penduduk Islam menjadi ancaman kepada negara ini,” kata Raut dalam tulisannya di akhbar milik parti Shiv Sena, Saamana. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:30 AM