PASANGAN pengantin bersama ahli keluarga.
PASANGAN pengantin bersama ahli keluarga.
Fouziah dan suami turut memeriahkan majlis.
Fouziah dan suami turut memeriahkan majlis.
BERSAMA bapa Elizad, Mohd Sharifuddin.
BERSAMA bapa Elizad, Mohd Sharifuddin.
Oleh Ramlah Zainal


Kali pertama pelakon Siti Elizad, 31, berkenalan dengan Shamsul Baharin Rahman, 43, menerusi pertemuan yang diatur kakak iparnya, Lisa Amri, pada Disember 2012.

Selepas setahun berkawan dan mengenali hati budi, mereka sepakat mengikat tali pertunangan pada 6 September 2013. Pasangan ini juga memilih untuk melangkah ke alam rumah tangga apabila disatukan pada majlis ringkas tanggal 11 Januari lalu.

Dengan sekali lafaz, Elizad sah bergelar isteri kepada Shamsul pada majlis secara tertutup yang disempurnakan bapanya, Mohd Sharifuddin Baharuddin pada jam 4 petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Shamsul duda dua anak dan bertugas di syarikat permotoran di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM777, tujuh dulang hantaran dan berbalas sembilan daripada pihak perempuan. Pasangan mempelai diraikan sekali lagi pada majlis resepsi yang berlangsung secara sederhana di Kampung Pengantin, Setapak, kelmarin.

Ketika ditemui, Elizad mengakui, dia sebak kerana arwah ibunya, tidak dapat sama-sama meraikan hari bahagianya itu. Arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh meninggal dunia dua tahun lalu akibat penyakit Parkinson.

“Hubungan saya dan arwah mama sangat rapat dan sayalah yang menjaganya sepanjang dia terlantar sakit dengan dibantu adik-beradik lain sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah mama teringin sangat melihat saya berkahwin, tetapi Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Bagi Shamsul pula, dia tertarik dengan Elizad kerana kriteria yang ada pada dirinya.

“Saya jatuh cinta dengan Elizad kerana dia menerima saya seadanya. Selain mempunyai minat sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi, Elizad juga dapat menerima dua anak saya dalam hidupnya.

“Sebagai suami, saya akan berusaha membimbingnya dan doakan rumah tangga kami berkekalan,” katanya.

Rakan artis turut raikan mempelai

Hujan lebat sejak jam 8 malam menyebabkan acara bermula agak lewat kira-kira jam 9 malam.

Namun, ia tidak menghalang kehadiran hampir 500 tetamu termasuk rakan artis serta pihak media untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah Elizad dan pasangannya.

Acara bermula dengan pantun empat kerat, paluan kompang dan selawat ke atas Rasulullah SAW. Menyusul selepas itu, Elizad dan Shamsul diarak ke teratak pelamin yang dihias indah dengan iringan lagu Sedetik Lebih dipopularkan penyanyi Anuar Zain.

Pada majlis resepsi bertemakan perkahwinan dalam taman itu, Elizad tampil jelita dengan menggayakan busana pengantin rekaan Jimmy Couture dan solekan oleh Epie Temerloh.

Selepas menepung tawar pengantin membabitkan anggota keluarga terdekat, mempelai terus dibawa ke acara makan beradab.

Acara pastinya tidak meriah tanpa kehadiran barisan selebriti popular tanah air yang turut menyemarakkan majlis meraikan raja sehari itu.

Antara rakan artis yang hadir pada malam itu, produser Ziela Jalil, Datuk Seri Shah Reza, penyampai radio Hot FM Fara Fauzana, Fouziah Gous dan suami, Azhan Rani, Linda Hashim, Beego, Sherry Al-Hadad, Kuza, Ana Dahlia dan ramai lagi. Selain mendoakan kebahagiaan Elizad dan Shamsul, rakan artis turut bergambar kenangan dan selfie dengan kedua-dua mempelai.

Selepas berkahwin, pelakon drama Teman Lelaki Upahan dan filem Coverina ini akan meneruskan karier seninya seperti biasa. Antaranya dia akan terbabit dengan penggambaran drama Dia Isteri Luar Biasa dan Isteriku Bukan Tukang Masak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:33 AM