Oleh Kelvin Khoo

Petra Jaya: Sarawak mempelajari sesuatu yang bermakna ketika menundukkan pasukan tercorot Sime Darby, 2-1 sekali pun beraksi 10 pemain selepas pertahanan Ramesh Lai dilayang kad merah pada aski Liga Super, di Stadium Negeri, malam kelmarin.

Jurulatihnya, Robert Alberts memuji aksi dipamerkan anak buahnya ketika melakar kemenangan itu selepas tempang ketika perlawanan baru berlangsung 40 minit.

“Mereka (pemain) berhak mendapat lebih kredit kerana mampu menang dengan sepuluh pemain. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, malah sasaran untuk menang tercapai sekali gus meraih tiga mata penting lebih-lebih lagi di tempat sendiri,” katanya.

Menurutnya, langkah positif perlu diambil selepas terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain, malah pemain bijak menggunakan kesempatan selain berusaha lebih keras untuk mengimbangi permainan.

Selain itu Alberts turut menyifatkan kekalahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-3 kepada Selangor turut membantu Sarawak menjarakkan kutipan mata daripada terus berada di kelompok terbawah.

“Lapan mata setakat ini, semakin menghampiri beberapa pasukan di depan kita dan mungkin ada peluang untuk memintas mereka bagi memperbaiki kedudukan liga,” katanya.

Bagaimanapun Alberts kesal dengan nasib menimpa beberapa tonggak utama skuad Bujang Senang yang digantung perlawanan kerana menerima tiga kad kuning dan satu kad merah.

“Saya berharap mereka tidak mengulangi kesilapan melakukan tindakan dirasakan tidak perlu sehingga merugikan pasukan,” katanya.

Sarawak berdepan ATM pada perlawanan kelapan di laman sendiri, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:04 AM