PENYERANG Kelantan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (kanan) mengawal gerakan pemain import Sarawak Nyema Patrick Gerhardt.
PENYERANG Kelantan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (kanan) mengawal gerakan pemain import Sarawak Nyema Patrick Gerhardt.
Oleh Kelvin Khoo

Petra Jaya: Skuad Bujang Senang mahu memperkemaskan lagi bahagian pertahanan yang agak goyah ketika menundukkan Kelantan 3-2 di Stadium Negeri, Kuching, kelmarin.

Pengendali Robert Alberts berkata, pertahanan dilihat sedikit longgar pada awal babak pertama apabila menyaksikan pasukan pelawat beberapa kali membuat percubaan berbahaya.

“Berbeza dengan perlawanan lalu berdepan Lions XII , Sarawak lebih banyak mendominasi perlawanan.

“Kita akan memperkemaskan bahagian pertahanan dan turut memastikan jentera serangan lebih tajam.

“Ketika bertemu Kelantan, pemain mengamalkan corak pantas, selain memanfaatkan beberapa peluang untuk mencipta gol, tetapi (pertahanan) agak goyah,” katanya.

Begitupun, Alberts tetap puas hati dengan kebangkitan skuad Bujang Senang mencatat kemenangan dalam aksi ke-10 Liga Super kelmarin, walaupun sekadar menang tipis.

Menurutnya, persembahan dipamerkan pemain cukup bertenaga apabila turun dengan misi mesti menang bagi meraih tiga mata penting.

“Perlawanan yang menarik, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang kerana saling menyerang, malah beberapa pemain yang direhatkan sebelum ini cukup bertenaga.

“Kita boleh lihat aksi pasukan selepas menjaringkan gol pertama dan ia meningkatkan lagi semangat pemain kerana gol awal itu penting untuk mengubah corak seterusnya,” katanya.

Sarawak kini menghuni tangga kesembilan liga dengan mengumpul 12 mata, di hadapan Kelantan, ATM dan Sime Darby.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:51 AM