UNAI EMERY
UNAI EMERY
AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery didakwa dengan salah laku oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas menyepak botol air ke arah penonton ketika seri 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Brighton, kelmarin.

Jurucakap FA berkata semalam: “Pengurus Arsenal, Unai Emery didakwa susulan perlawanan menentang Brighton semalam (26 Disember 2018).

“Adalah dipercayai tindakannya menyepak botol air ketika aksi itu bermakna satu salah laku. Beliau mempunyai masa hingga jam 6 petang 2 Januari 2019 untuk membalas terhadap pertuduhan ini,” menurut jurucakap itu.

Pengendali dari Sepanyol itu kemudian bercakap dengan penyokong tuan rumah berdekatan insiden botol itu disepak dan sekali lagi selepas tamat perlawanan di Stadium Amex.

Emery, bercakap sebelum pengumuman FA dan menjelang kunjungan Arsenal ke pasukan pendahulu liga Liverpool hujung minggu ini berkata, beliau berharap permohonan maafnya diterima.

“Saya katakan semalam saya meminta maaf, saya menyepak botol kerana kecewa tapi bukannya terhadap penyokong, saya menyepak terhadap diri sendiri dan ia hampir terkena penyokong dan saya katakan kepada mereka permohonan maaf saya. Tiada komunikasi lain selepas itu.

“Saya ulangi hari ini permohonan maaf saya kerana tindakan individu tapi saya menyepak botol itu kerana ia berdekatan saya, bukan niat saya melakukannya.”

Emery, yang berharap perkara itu selesai, menegaskan beliau tetap menghormati sebarang keputusan FA.

“Saya harap begitu, ya,” katanya apabila ditanya sama ada permohonan maaf itu patut membolehkannya terlepas daripada sebarang hukuman.

“Namun saya kena hormati keputusan kerana ia kesan daripada tindakan saya tapi bukan niat saya terhadap penyokong. Saya sudah memohon maaf kepada mereka,” jelas pengendali berusia 47 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 8:31 AM