Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun ditahan selepas disyaki menipu seorang guru wanita menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat palsu membabitkan kerugian RM130,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek ditahan di sebuah hotel di Jalan Tun Perak kira-kira 2 petang, Sabtu lalu selepas berlaku pertengkaran antara mangsa berusia 42 tahun dan suspek yang juga penuntut Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Lembah Klang.

Menurutnya, suspek sebelum itu sudah berkenalan dengan mangsa kira-kira dua bulan lalu melalui laman sosial Facebook dengan menyamar sebagai lelaki kulit putih.

"Suspek kemudian memperdayakan mangsa dengan memberitahu mengalami masalah kewangan sebelum meminta wanita terbabit meminjamkan wang berjumlah RM130,000. Suspek juga berjanji akan membayar semula hutangnya kepada mangsa melalui mata wang Dollar Amerika Syarikat.

Zainol berkata, sebaik bertemu suspek, mangsa segera menelefon polis selepas merasakan dirinya ditipu sebaik melihat kertas mata wang dollar itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:48 PM