Muhamaad Razis Ismail


KITA biasa mendengar, jika berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya.

Demikian perjalanan kehidupan Mohd Zaki Husain, 54, menjadi seorang tukang besi selepas berkahwin dengan Zainab Ibrahim, 54, yang juga anak kepada tukang besi yang cukup tersohor di Kelantan.

Kemahiran ilmu pandai besi itu dipelajari ketika menjadi pembantu kepada arwah bapa mentuanya, Ibrahim Ismail.

Minat mendalam terhadap barangan antik turut mendorong Mohd Zaki untuk terus terbabit dalam bidang ini sehingga kini.

Selepas bapa mentuanya meninggal dunia, dia meneruskan legasi ‘pandai’ besi itu sehingga kini.

Kini, selepas 20 tahun berlalu, bapa kepada tiga anak ini masih tidak jemu menghasilkan pelbagai jenis senjata daripada besi.

TETUANG tanduk kerbau turut mendapat permintaan tinggi. FOTO & VIDEO: Fathil Asri
TETUANG tanduk kerbau turut mendapat permintaan tinggi. FOTO & VIDEO: Fathil Asri

Antara barangan atau produk yang biasa dihasilkan termasuk keris, lembing, lawi ayam, tetuang tanduk kerbau, kacip sirih dan cucuk sanggul.

Kebiasaannya peralatan ini dijadikan sebagai hiasan di rumah dan sebagai koleksi peribadi bagi peminat barangan antik di dalam serta luar
negara.

Mohd Zaki atau lebih dikenali sebagai Zaki Purbo berkata, untuk terbabit dalam bidang ini, ia memerlukan minat mendalam dan menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

“Kita perlu menahan bahang panas ketika proses sepuhan dilakukan dan ia mengambil masa yang lama untuk menghasilkan senjata tradisional dengan kemas serta sempurna,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Manir, Pasir Mas baru-baru ini.

Bagi menghasilkan sesebuah senjata memerlukan ketelitian dan kemahiran yang tinggi untuk memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti.

“Kawalan api dan ketepatan masa memainkan peranan penting untuk memastikan besi dapat dilembutkan serta dibentuk dengan baik.

Mohd Zaki warisi kemahiran daripada bapa mentua yang merupakan tukang besi cukup tersohor di Kelantan. FOTO & VIDEO: Fathil Asri
Mohd Zaki warisi kemahiran daripada bapa mentua yang merupakan tukang besi cukup tersohor di Kelantan. FOTO & VIDEO: Fathil Asri

“Sedikit kesilapan boleh menyebabkan besi patah,” katanya.

Tambahnya, senjata yang dihasilkan ini sentiasa mendapat permintaan tinggi dari semasa ke semasa kerana memiliki peminatnya tersendiri.

“Ada yang buat tempahan, ada yang beli barang sedia ada. Barang yang dijual sekitar RM20 sehingga ratusan ringgit bergantung kepada jenis dan saiz.

“Disebabkan minat mendalam mereka tidak kisah berhabis untuk memastikan barang ini menjadi milik mereka,” katanya.

Menurutnya, dia sering dijemput untuk melakukan demonstrasi membuat senjata di program kraf tangan dan kesenian di seluruh negara.

“Saya lakukan ini sebagai usaha untuk menarik lebih ramai terbabit dalam bidang ini.

PERCIKAN api terhasil ketika proses menempa besi. FOTO & VIDEO: Fathil Asri
PERCIKAN api terhasil ketika proses menempa besi. FOTO & VIDEO: Fathil Asri

“Kini, jumlahnya semakin lama semakin berkurangan. Tukang besi yang ada sekarang kebanyakan sudah berusia dan tidak mustahil terus lenyap jika tiada pelapis dicari mulai sekarang,” katanya.

Dia mengakui bimbang apabila golongan muda kurang meminati untuk terbabit dalam bidang ini.

“Bukan nak kata orang lain, tiga anak saya pun kurang berminat menceburi bidang ini.

“Mungkin sebab ia mencabar dan mengambil masa untuk mahir dalam bidang ini menyebabkan golongan muda kurang berminat,” katanya.

KACIP sirih turut mendapat permintaan tinggi peminat koleksi barang antik. FOTO & VIDEO: Fathil Asri
KACIP sirih turut mendapat permintaan tinggi peminat koleksi barang antik. FOTO & VIDEO: Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:00 AM