RICHARD (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank Teoh Cheng Soon (dua dari kanan) pada sesi menandatangani taja jamin, semalam.
RICHARD (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank Teoh Cheng Soon (dua dari kanan) pada sesi menandatangani taja jamin, semalam.

Kuala Lumpur: Only World Group Holdings Bhd (OWG) yang dalam proses penyenaraian merancang meraih RM50 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang disasarkan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Richard Koh Cheng Keong berkata, IPO itu meliputi 56.41 juta saham baru berharga 88 sen seunit.

“Daripada RM50 juta itu, sebanyak RM30 juta akan diguna untuk pengubahsuaian Menara Komtar di Pulau Pinang, RM13 juta untuk pengembangan perniagaan, RM2 juta sebagai modal kerja dan baki untuk perbelanjaan berkaitan IPO,” katanya selepas menandatangani taja jamin dengan Public Investment Bank Bhd bagi pelaksanaan IPO itu, di sini, semalam.

Beliau berkata, pelancaran prospektus dijangka dilakukan pada minggu terakhir November dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada pertengahan Disember depan.

Sementara itu, mengenai pembangunan Menara Komtar, beliau berkata syarikat dijangka melaksanakan pengubahsuaian di lima aras khusus dengan kos keseluruhan RM60 juta.

Katanya, ketika ini projek itu sudah 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya antara Julai dan Ogos tahun depan.

Ditubuhkan pada 1973, Only World Group adalah penyedia perkhidmatan rekreasi dan hospitaliti yang menggembleng operasi cawangan makanan dan perkhidmatan, taman tema air serta tarikan keluarga.

Penyumbang terbesar pendapatan dan keuntungan syarikat ialah operasi perkhidmatan makanan dengan syarikat mengendalikan 16 jenama sendiri dan satu jenama pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:04 AM