USTAZ Manis mahu dikenali oleh semua peminat.
USTAZ Manis mahu dikenali oleh semua peminat.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kepetahannya bercakap mengagumkan sesiapa saja yang mengikuti ceramah dan kelas motivasi anjurannya.

Cara penyampaiannya juga sangat menarik kerana diselang-seli dengan jenaka membuatkan penonton tidak bosan.

Bagaimanapun Ustaz Manis atau nama sebenarnya Mohd Fadhly Hasbullah, 36, hanya dikenali di negeri sebelah utara serta di Sabah. Justeru, dia kini giat mempromosikan diri agar dikenali semua peminat.

Tambahan pula dia sudah menghasilkan enam buah album yang perlu dipromosikan sebaik mungkin kepada pendengar iaitu Nasyid Permata Hati (2007), Zikir Senandung Qalbu Vol 1 (2011), Nasyid FIRAST- Qudus Kasihmu (2012), Zikir Senandung Qalbu Vol 2 (2013), Alunan Munajat Rindu (2014) dan Koleksi Zikir Terbaik Ustaz Manis pada Oktober tahun lalu.

Manis ketika ditemui mengakui album Koleksi Zikir Terbaik Ustaz Manis menerima sambutan positif terutama dalam kalangan ibu bapa yang memperdengarkannya kepada anak-anak mereka.

“Menariknya album ini menampilkan zikir yang amat mudah untuk semua golongan khususnya kanak-kanak. Ia sangat dekat dan mudah diterima oleh pendengar. Proses rakaman pula dibuat di UNIC Sound Room dan Ada Exist Studio.

“Saya banyak buat program motivasi di seluruh negara dan jual sendiri album itu. Kalangan pendengar yang mengikutinya ialah pelajar sekolah dan pelajar institut pengajian tinggi. Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.

Bercakap mengenai pembabitannya, Ustaz Manis yang juga seorang guru berkata, segala-galanya bermula apabila dia ditugaskan mengajar di Lahad Datu, Sabah pada 2005.

“Saya mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu. Sempena Minggu Penghayatan Islam, saya wujudkan karnival yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Konsep yang dipilih ialah nasyid dan motivasi yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di sana. Ia sudah memasuki edisi kesembilan dan sambutannya setiap tahun memang meriah.

“Biarpun sudah kembali mengajar di semenanjung iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh, Balik Pulau, saya masih lagi diundang untuk terbabit dengan karnival ini,” katanya.

Pemuda kelahiran Kuala Nerang, Kedah ini selesa dengan tugasnya yang memberi ilmu kepada masyarakat. Kerja-kerja dakwah pula dibuat pada setiap hujung minggu.

“Alhamdulillah, jadual saya sangat padat setiap hujung minggu. Cuma masalahnya peminat saya terbatas di sekitar sebelah utara dan Sabah. Nyanyian zikir dimainkan di saluran Astro Qasis dan RTM tapi orang tak kenal siapa saya.

“Inilah yang membuatkan saya tampil ke depan untuk mempromosikan diri agar dikenali sepenuhnya oleh peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:07 AM