LANDSKAP santai dan selesa jadi keutamaan.
LANDSKAP santai dan selesa jadi keutamaan.

Cerita berkenaan landskap indah menjadi pelengkap perbualan tetamu yang singgah ke kediaman ini.

Bayangkan dua panorama semula jadi diwujudkan dengan idea berbeza dan menjadi inspirasi buat sesiapa saja.

Sentuhan kreatif ini hasil usaha Hayati Samin yang begitu mencintai dunia landskap.

Peluang berkunjung ke kediaman kontraktor perladangan ini memberi seribu satu pengalaman kepada penulis untuk lebih menghayati idea semula jadi itu.

Apatah lagi pihak media ditemani syarikat nurseri terkenal di Johor iaitu Kulim Nursery Sdn Bhd (KNSB).

Terletak di Kampung Dalam, Ayer Hitam, Johor, siapa sangka untuk berada dalam persekitaran landskap dua panorama sebaik melangkah masuk ke kediaman ini.

Taman hadapan sarat dengan keindahan hijau­nya, manakala laman belakang tidak ­kalah dengan penataan sejuk mata memandang.

Memulakan bicara, Hayati tidak dapat menyembunyikan rasa teruja bercerita mengenai landskap di kediamannya itu.

"Ia berkaitan dengan minat yang terlalu mendalam terhadap alam semula jadi dan dunia kerjaya saya pula begitu dekat dengan semua ini.

"Saya cuba merealisasikan pemandangan yang menyejukkan mata dan menjadi terapi terbaik buat kami sekeluarga tanpa mengira masa.

"Apabila kita dekati persekitaran semula jadi, tentunya membawa aura ketenangan dan kesegaran yang sukar diungkapan dengan kata," katanya yang mendapat sokongan suami tercinta Ramli Rahmat, 58.

Taman hadapan

Selesa dengan konsep santai dalam suasana hijau, panorama unik ini menjadikan keluasan yang ada menarik dengan reka letak landskap lembut dan kejur.

Hayati mempunyai alasan tersendiri dalam memilih tanaman hiasan tertentu sebagai melengkapi persekitaran.

"Di taman hadapan ini, lebih banyak pokok tahan lasak dan hiasan hijau kerana ia mudah dijaga serta tidak memerlukan penjagaan rapi.

"Namun, itu tidak bermakna rutin harian diabaikan kerana resmi tanaman hakikatnya sama dengan kehidupan manusia. Perlu perhatian supaya kekal menarik sepanjang masa," katanya yang sering mencari masa terluang untuk memberi perhatian kepada semua tanaman di situ.

Melengkapkan konsep santai, kehadiran wakaf dan buaian kayu menjadikan ruang di laman itu dimanfaatkan untuk berkumpul serta rekreasi.

Bersebelahan ruang meletak kereta pula dekoratif pasu yang menempatkan pelbagai spesies kaktus benar-benar menarik perhatian.

Diserikan denga set kerusi santai di sebelahnya, reka letak pelbagai pepohon hijau di sudut itu mengungkapkan keindahan tersendiri.

Tidak dinafikan kemasan kayu cengal pada binaan bumbung ruang letak kereta antara terjemahan nilai estetika yang tidak lapuk ditelan zaman.

Begitu juga dengan kemasan pintu pagar dan jeriji pintu masuk utama kediaman yang tampak eksklusif dengan corak bunga-­bungaan.

Lebih unik dekoratif kayu balak menghiasi pintu masuk utama yang secara terang menggambarkan pemiliknya juga mencintai dunia kayu.

Pada masa sama, sudut santai di tingkat atas menjadi tempat paling privasi untuk menyaksikan landskap dua panorama secara keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM