PEPOHON hijau di taman bahagian hadapan.
PEPOHON hijau di taman bahagian hadapan.
DEKORATIF tanaman berbunga ditanam dalam pasu dan kasut terbuang.
DEKORATIF tanaman berbunga ditanam dalam pasu dan kasut terbuang.
POKOK berbunga turut serikan bahagian luar.
POKOK berbunga turut serikan bahagian luar.
IDEA binaan taman indah zahirkan suasana segar dan ceria.
IDEA binaan taman indah zahirkan suasana segar dan ceria.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Berada di kediaman yang sarat dengan idea kreatif dalam binaan taman indah ini, memberikan seribu satu persepsi ketenangan sepanjang masa.

Keindahan itu yang membuktikan pemiliknya, Siti Mariah Alias, 45, dan suami, Abdullah Muji, 52, antara peminat tegar dunia landskap.

Terletak di Seksyen 12, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Selangor, kediaman itu cukup berbeza apabila menampilkan landskap dua panorama.

Tidak hanya mempu­nyai taman hadapan, ia turut mencipta kesinambungan landskap menerusi ruang taman dalam rumah dan taman herba di bahagian belakang.

"Taman ini kami bina atas dasar keperluan dan cita rasa sekeluarga untuk bersantai dalam suasana serba ringkas, tetapi lengkap dengan pelbagai tanaman dan hiasan.

"Keindahan taman ini juga melambangkan jiwa dan kasih sayang kami sekeluarga," kata Siti Mariah yang juga kakitangan kerajaan.

Siti Mariah berkata, ruang hadapan itu asalnya kosong, kemudian diindahkan binaan taman lengkap dengan pergola, kolam dan susunan batu bata.

Pagar kayu pula dipilih kerana dia dan suaminya begitu meminati elemen tradisional serta mengkagumi seni ukirannya.

Dekoratif tanda nama yang mencatatkan nama pasangan itu dan anak-anak turut menjadi daya tarikan di bahagian luar.

Sudut itu serikan dengan pelbagai jenis bunga-bu­ngaan dan membuatkan persekitaran tampil ceria.

"Kami begitu meminati bunga-bungaan kerana boleh menjadi terapi keceriaan dengan terjemahan susun letak diinginkan.

"Elemen air pula menjadi simbolik mengalu-alukan kunjungan tetamu selain memberikan ketenangan luar biasa," katanya.

Lebih unik, taman di kediaman itu turut diserikan dengan binaan rumah burung di atas pokok.

Ia antara usaha Siti Mariah dan suaminya supaya burung-burung yang biasa singgah di taman untuk bertelur, terus membuat sarang di atas lampu.

Sesekali kicauan burung ini yang mengembalikan nostalgia desa dan bermakna buat keluarga ini.

Taman dalam rumah dan taman herba

Keindahan taman dalam rumah dilihat saling berkaitan dan keindahan itu tampil dalam suasana berbeza.

Bayangkan ruang terbuka tanpa bumbung itu membenarkan cahaya matahari menembusinya.

Ketika malam, cahaya terang bulan dan bintang dapat dilihat dengan jelas sebaik berada di situ.

"Taman ini menjadi sudut paling privasi buat kami sekeluarga. Saya pula gemar menjadikannya sebagai tempat membaca atau mengemas kini kerja sekolah anak-anak.

"Pilihan tanaman pula sekadar tanaman gantung dan ditanam pada panel dinding, kolam ikan, elemen hiasan ringkas untuk mewujudkan suasana santai sesuai dengan keluasan," katanya.

Taman herba di belakang rumah pula menarik de­ngan pelbagai jenis herba dan sayur-sayuran untuk kegunaan dalam masakan.

"Lebih kurang 45 jenis herba yang kami tanam seperti belalai gajah, kecubung, mas cotek, halia, hempedu bumi dan tunjuk langit.

"Sayur-sayuran yang ada seperti serai, kunyit, pokok kari, kesum, kacang botol, kantan, bunga telang, pandan dan cili," katanya.

Hujung minggu pula menjadi waktu paling bermakna buat keluarga ini untuk menyelenggara taman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM