Kuala Lumpur: Persatuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Malaysia (PIKOM) yakin sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masih berpeluang menjana hasil RM95 bilion menjelang 2017 sebagaimana yang disasarkan walaupun dijangka akan berlaku kelembapan awal disebabkan reaksi pasaran terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sama seperti negara lain di ASEAN yang sudah melaksanakan GST sebelum Malaysia, pasaran akhirnya akan menerima regim percukaian baru itu sebagai sebahagian kos perniagaan serta proses jualan dan akan menerima pulangannya dalam jangka panjang.

Pengerusinya Cheah Kok Hoong menasihatkan peruncit ICT supaya memperagakan perbezaan dan daya saing masing-masing dalam pasaran.

“Selain mengurangkan kos dalaman menerusi penambahbaikan daripada segi kecekapan perniagaan atau menawarkan perkhidmatan tambahan bagi mengekalkan asas pelanggan, peruncit juga digalakkan supaya menimbang untuk memanfaatkan trend ICT baru muncul dan pesat berkembang, yang membanjiri pasaran serta menempatkan diri mereka di tempat lebih strategik supaya memperoleh manfaat apabila pasaran kembali rancak,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Beliau berkata, peruncit ICT juga perlu melihat ke hadapan melepasi harga dan beralih kepada produk serta perkhidmatan yang menawarkan margin lebih tinggi seperti perundingan tambah nilai atau menawarkan pakej borong strategik bagi melengkapkan jualan perkakasan dan gajet.

Sambil berkongsi unjuran mengenai sektor ICT negara dengan impak GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015, PIKOM berkata kajian ke atas ‘Impak GST ke atas Perniagaan’ menunjukkan lebih 60 peratus organisasi ICT tempatan memperakui GST akan memberi kesan ke atas hasil mereka.

Namun mereka tidak melihat impak besar ke atas keputusan pembelian dan pelaburan oleh perusahaan serta korporat besar memandangkan enam peratus dikenakan oleh pembekal, boleh dituntut sebagai cukai input daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Berikutan ketidaktentuan berbangkit daripada pelaksanaan cukai enam peratus ke atas produk teknologi (kini sifar peratus menerusi rejim Cukai Jualan dan Perkhidmatan), PIKOM menjangkakan berlaku peningkatan harga merentas pelbagai jenis perkakasan, perisian dan perkhidmatan memandangkan peningkatan kos dilepaskan kepada pengguna.

Impak itu dijangkakan akibat sentimen pengguna dan perbelanjaan untuk ICT yang perlahan, paling ketara dalam segmen runcit pengguna.

Cheah berkata, tempoh enam bulan akan datang bakal menyaksikan ‘penurunan’ secara umum pembelian dalam kalangan pengguna dan isi rumah ke atas perkakasan serta gajet seperti telefon pintar, komputer peribadi, komputer riba, pencetak dan perkakasan lain. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:47 AM