NILSSON (kanan) dan Carlsson melancarkan wakil pengedar baru di Ipoh.
NILSSON (kanan) dan Carlsson melancarkan wakil pengedar baru di Ipoh.
Oleh Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini dijangka akan menjejaskan sedikit ke atas harga jualan produk Volvo Trucks Malaysia (Volvo Malaysia) serta servis dan perkhidmatannya, namun masih berada di tahap yang rendah.

Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mats Nilsson berkata, perlaksanaan GST adalah satu perkembangan yang bagus dalam industri automatif di negara ini begitupun harga jualan serta servis dan perkhidmatan yang dikenakan masih rendah kerana ia bergantung kepada cukai yang dikenakan terhadap alat ganti kenderaan.

“Kami mahu lebih berdaya saing di pasaran walaupun ketika ini kejatuhan mata wang Kroner Sweden dan Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) juga mungkin akan memberi kesan terhadap harga jualan.

“Kami mahu terus mengekalkan kedudukan sebagai pengedar trak berat jenama Eropah nombor satu di Malaysia yang terjual sebanyak 424 buah sepanjang tahun lalu,” katanya selepas majlis pembukaan Pusat Pengedaran Volvo Ipoh, semalam.

Pembukaan pusat pengedaran yang kelima di Semenanjung Malaysia itu dirasmikan oleh Duta Sweden ke Malaysia, Bengt Carlsson.

Nilsson berkata, pembukaan pusat ini hasil pelaburan syarikat berjumlah RM75 juta untuk menaik taraf dan memperluas rangkaian pengedaran di seluruh Malaysia.

“Ia kini beroperasi di bangunan sendiri dengan keluasan 8,361 meter persegi dan kawasan binaan seluas 1,160 meter persegi.

“Kami telah menaik taraf daripada segi ruang yang lebih luas dan meningkatkan kemudahan berbanding unit rumah kedai yang diduduki sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ia juga dibina dengan kemudahan enam ruang kerja, ruang mencuci, peralatan alat ganti yang lebih terkini untuk mendiagnosis trak, perkhidmatan dan pembaikan.

Ia juga direka semula supaya sepadan dengan identiti korporat Volvo dan pejabat yang lebih ergonomik dengan menawarkan persekitaran yang lebih selesa untuk pekerja dan pelanggan.

Pada majlis berkenaan, Nilsson turut menyerahkan kunci trak kepada tiga syarikat iaitu Chip Seng Heng Enterprise Sdn Bhd, Riang Baru Transport Sdn Bhd dan Syarikat Jasa Selamat Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:44 AM