LUMIA 532.
LUMIA 532.

Kuala Lumpur: Microsoft Malaysia memperkenalkan Lumia 532 secara rasmi di Malaysia bermula 27 Mac ini dan menawarkan peranti itu pada harga RM379 seunit.

Lumia 532 hadir dengan skrin bersaiz 4-inci WVGA, cip pemprosesan Snapdragon 200 1.2Ghz, kamera belakang 5 megapiksel, kamera hadapan VGA, memori sebanyak 1GB RAM dan ruangan storan terbina 8GB.

Telefon pintar mampu milik ini bergerak di atas sistem operasi Windows Phone dan hadir dengan sokongan dwi-SIM.

Microsoft turut melengkapkan pelbagai penawaran tambahan untuk peranti Windows Phone ini, termasuk ruangan storan percuma melalui OneDrive, aplikasi Office, dan juga Skype.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Microsoft Malaysia berkata, Lumia 532 didatangkan dalam warna hijau, jingga, putih dan hitam.

Microsoft turut bekerjasama dengan AirAsia untuk pelancaran peranti terbabit dan untuk tempoh terhad (sehingga 30 April), pengguna akan menerima AirAsia Big Points sebanyak 5000 mata dan boleh digunakan untuk mendapatkan tiket pulang dari Singapura, Krabi dan sebagainya secara percuma.

“Untuk pasaran Malaysia, Microsoft membawakan versi Dual SIM. Namun tiada sambungan Internet berkelajuan tinggi 4G LTE untuk peranti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:42 AM