FABREGAS (dua dari kiri) dilayangkan kad merah.
FABREGAS (dua dari kiri) dilayangkan kad merah.
AFP

Pasadena, AS: Bintang Chelsea Cesc Fabregas dibuang padang kerana terjahan kasar ke atas pemain baharu Liverpool Ragnar Klavan, sekali gus membayangi kemenangan 1-0 pada aksi persahabatan di Pasadena Rose Bowl, semalam.

Kelab gergasi Liga Perdana itu bertembung pada kejohanan pramusim Piala Juara-Juara Antarabangsa dalam perlawanan yang lebih dicemari dengan banyak kekasaran berbanding aksi bola sepak yang menarik.

Pemain tengah Sepanyol Fabregas, 29, tidak merungut ketika dia dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana terjahan lewat terhadap Klavan dengan stud ke atas.

Ketika itu pengadil dari California Baldomero Toledo sudah terpaksa melayangkan kad kuning kepada empat pemain Liverpool dan satu terhadap pemain Chelsea, Gary Cahill.

Ketua jurulatih baharu Chelsea Antonio Conte memberitahu wartawan selepas wisel penamat, perlawanan itu lebih kompetitif berbanding apa yang dijangkakannya selain memohon maaf terhadap kekasaran Fabregas.

“Saya fikir dalam tempoh ini, keletihan kadangkala boleh menyebabkan pemain melakukan terjahan lewat,” katanya.

“Saya sedar Fabregas seorang lelaki yang baik dan bukannya pemain yang sering berdepan saat sebegini. Saya memohon maaf buatnya, maaf kepada pemain Liverpool itu.”

Pengurus Reds Juergen Klopp berkata, Klavan tidak mengalami sebarang kecederaan daripada terjahan itu namun mendedahkan muka baharu Marko Grujic berada di hospital selepas dihentak di kepala pada babak pertama.

“Dia tidak ingat apa-apa... Situasi ini tidak bagus tapi kecederaan berlaku dalam perlawanan sebegini pada tempoh pramusim, inilah masalah terbesar.”

Pertahanan England Cahill memukau 53,000 penonton pada minit ke-10 apabila dia melonjak tinggi melepasi beberapa pertahanan Liverpool untuk menanduk masuk sepakan sudut Fabregas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:47 AM