Oleh Junaidi Ladjana

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menafikan dakwaan di media sosial kononnya anggotanya menyembur gas di bahagian bawah pasar Lahad Datu sehingga menyebabkan kematian tiga remaja lelaki yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) awal hari ini.

Pengarah Bahagian Keurusetiaan ESSCOM, Newmond Tibin berkata, sebaliknya ketiga-tiga mangsa terbabit dipercayai lemas ketika cuba melarikan diri ketika operasi bersepadu biasa dilaksanakan di kawasan pasar itu.

Katanya, operasi biasa yang diterajui ESSCOM itu dimulakan pada 8 pagi dengan tumpuan kawasan pasar awam dan pasar ikan Lahad Datu yang bertujuan membanteras peniaga haram dan PATI.

"Ekoran daripada itu ramai yang melarikan diri termasuk tiga lelaki itu dipercayai bersembunyi di bawah pasar berkenaan. Pada 10.30 pagi, anggota operasi yang berada di lokasi menghubungi ambulans dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memberi bantuan kepada mereka.

"Tiga mangsa yang lemas itu kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu, dan pada kira-kira 12 tengah hari, pihak ESSCOM dimaklumkan tiga lelaki berkenaan meninggal dunia akibat lemas kerana cuba melarikan diri ketika operasi bersepadu dijalankan di kawasan pasar ikan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Newmond berkata, mangsa itu dikenali sebagai Nordin Bin Akang, 16, Lahudin Bin Nasir, 17, dan abangnya Alex Bin Nasir, 18, dan kesemua mereka tinggal di Kampung Bakau, Lahad Datu.

Beliau berkata, operasi bersepadu harian memburu PATI itu dilancarkan sejak awal Januari lalu dalam usaha membersihkan bandar Lahad Datu daripada PATI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 12:19 AM