ANTARA PATI yang ditahan.
ANTARA PATI yang ditahan.
Oleh Norasikin Daineh


Lahad Datu: Lima puluh dua individu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas yang diketuai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Pejabat Daerah Lahad Datu di kawasan bandar Lahad Datu hari ini.

Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, operasi yang bermula sejak 9.30 pagi itu turut disertai pelbagai agensi penguatkuasa lain yang bertujuan untuk membersihkan pusat bandar Lahad Datu daripada PATI.

"Semua individu termasuk 10 wanita terbabit dibawa ke Dewan Tun Mustapha Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pemeriksaan dan seterusnya urusan pengusiran," katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Sukarti berkata, operasi membanteras PATI itu antara langkah drastik yang diambil kerajaan susulan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai PATI di negeri ini yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini.

Terdahulu, pada 30 Disember lalu, seramai 16 PATI turut ditahan di sekitar bandar Lahad Datu dalam operasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 6:25 PM