AKSI JDT menentang Muangthong United FC dalam saingan pusingan kedua kelayakan ACL. -Foto Facebook Muangthong United FC
AKSI JDT menentang Muangthong United FC dalam saingan pusingan kedua kelayakan ACL. -Foto Facebook Muangthong United FC
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais reda dengan kekalahan 2-5 pasukannya di tangan Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, semalam.

Katanya, banyak aspek yang harus diperbaiki selepas beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemain menyebabkan hasrat untuk mencipta kemenangan sekali gus layak ke pusingan ketiga tidak kesampaian.

Beliau menegaskan, rombakan kecil terpaksa dilakukan pada saat akhir selepas penyerang import, Luciano Figueroa yang pada awalnya berada dalam perancangan terpaksa diketepikan.

“Luciano (Figueroa) mengalami jangkitan tonsil. Jadi dia tidak dapat diturunkan walaupun sepanjang aksi persahabatan pramusim, dia pemain paling menyerlah.

“Corbin Ong yang beraksi di posisi bek kiri pula tidak dapat diturunkan kerana masalah pendaftaran di saat akhir manakala Marcos Antonio belum pulih sepenuhnya dan kami mahu dia beraksi pada perlawanan menentang Kedah nanti.

“Tidak dinafikan pengalaman Muangthong yang pernah beraksi di saingan ACL menjadi jurang perbezaan antara kedua-dua pasukan kerana kami tidak pernah beraksi di peringkat itu menyebabkan pemain tidak fokus dan kerap buat kesilapan,” katanya.

Bagaimanapun, Morais menegaskan ia adalah cita-cita JDT untuk cuba beri saingan dan seharusnya berbangga sebagai satu-satunya pasukan di Malaysia yang sudah tiga musim berturut-turut beraksi di kelayakan ACL.

“Kalah atau menang, itu adat permainan, yang utama adalah pengalaman. Saya tetap berpuas hati namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki.

“Apapun saya akan berbincang dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pengarah Sukan, Martin Prest dan Pengarah Teknikal, Allistair Edwards bagi memperkemaskan lagi pasukan JDT,” kata Morais.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 11:00 AM