Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Umpama hilang arah, begitulah dapat digambarkan mengenai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang sepatutnya menjadi ‘kilang’ melahirkan atlet elit berjaya, bukannya ‘lesu’ seperti yang berlaku ketika ini.

Bukan tuduhan tidak berasas, sebaliknya perkara itu diakui seorang bekas pegawai kanan yang pernah berkhidmat di SSBJ serta Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Johor Bahru.

Tampil memberikan pendedahan, sumber menegaskan, segala yang dilaporkan Arena Metro semalam mengenai kekecewaan bekas pelajar SSBJ adalah benar kerana beliau sendiri pernah melaluinya.

“Kalau sudah namanya sekolah sukan, sepatutnya sekolah itu berusaha melahirkan atlet sukan yang berjaya di pentas antarabangsa, tetapi ia tidak berlaku di SSBJ.

“SSBJ perlu kembali kepada polisi asal iaitu melahirkan atlet berkelas dunia. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ialah mereka lebih mengutamakan akademik berbanding sukan.

“SSBJ sepatutnya tempat utama untuk melahirkan atlet berjaya kerana mereka mendapat sokongan padu daripada pihak sekeliling baik daripada Kementerian Pendidikan hinggalah ke MSN (Majlis Sukan Negara).

Perkara itu, kata sumber, tidak berlaku di SSTMI yang mana mereka lebih banyak berdikari tetapi tetap mampu melahirkan atlet terbaik.

“Kalau dulu, SSBJ mengambil atlet dari sekolah lain tetapi kami di SSTMI perlu menggilap bakat yang ada pada seseorang atlet.

“Anda tengoklah sendiri ketika ini antara SSBJ dan SSTMI, yang manakah paling berjaya? Sudah tentu SSTMI,” katanya.

Jelas sumber, ‘resipi’ kejayaan SSTMI cukup mudah iaitu pihaknya lebih mengutamakan sukan berbanding akademik walaupun tidak menolak kepentingan akademik kepada seseorang atlet itu.

“Saya lebih berbangga jika produk SSTMI dapat memenangi pingat emas baik di Sukan SEA, Sukan Asia atau Komanwel berbanding meraih semua A dalam keputusan peperiksaan mereka.

“Sebab apa? Sebab inilah matlamat sekolah sukan iaitu melahirkan atlet berkelas dunia,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, seorang bekas pelajar SSBJ, Muhd Fitri Jasni tampil mendedahkan bagaimana impiannya untuk menjadi seorang atlet hoki berjaya lebur selepas mendapati sistem pendidikan di sekolah itu lebih mengutamakan akademik berbanding sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:23 AM