Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, pagi yang indah dan ceria buat kita semua. Tak kisahlah di mana anda berada, Lofa hanya nak ingatkan supaya penuhi hari anda dengan perkara bermanfaat.

Baru-baru ini, Lofa terbaca satu artikel mengenai kadar obesiti penduduk di seluruh dunia. Alangkah terkejutnya Lofa apabila mengetahui Malaysia antara negara paling ramai rakyatnya mengalami obesiti di Asia! Terkejut bukan?

Itulah realitinya. Puas juga Lofa memikirkan apakah penyumbang permasalahan ini. Akhirnya Lofa temui jawapannya! Semuanya bermula dengan pemakanan dan gaya hidup. Kenapa? Teruskan membaca, okay!

Tahukah anda, pemakanan dan gaya hidup saling berkait rapat? Jika diperhatikan sekeliling kita, terlalu banyak kedai makanan segera diwujud­kan, bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Memang ada bagusnya jika dilihat daripada segi pembangunan ekonomi tetapi tahukah anda, makanan segera adalah penyebab utama masalah obesiti dan penyakit berbahaya seperti kencing manis, kanser dan sakit jantung.

Kalau dulu, nak mendapatkan makanan segera memang sukar. Seseorang perlu keluar rumah dan pandu lalu tetapi kini dengan kepesatan teknologi, kita boleh mendapatkan makanan segera hanya di hujung jari.

Dail saja nombor telefon kedai makanan segera yang dikehendaki, segala-galanya ditanggung beres. Bagi Lofa, ini antara keburukan teknologi yang sangat memberi impak negatif kepada gaya hidup dan pemakanan kita. Sudahlah makan makanan tidak berzat, keluar rumah pun malas.

Lofa sendiri mempunyai pengalaman sedih berkaitan makanan segera tetapi bukan terjadi kepada Lofa, sebaliknya adik rakan karib. Adiknya sangat gemarkan makanan segera ‘X’, malah boleh dikatakan hampir setiap minggu, tiga atau empat kali juga dia makanan makanan itu.

Lofa perhatikan, makin lama fizikal adik rakan Lofa ini bertambah besar hinggalah satu hari, Lofa dimaklumkan dia dimasukkan ke hospital kerana kandungan garam dan kolesterol dalam badan terlalu tinggi hingga mengganggu sistem pernafasannya. Syukur alhamdulillah, tiada apa yang lebih serius terjadi.

Adik itu bernasib baik tetapi sanggupkah anda memperjudikan diri demi memenuhi kehendak nafsu makan? Bagi Lofa, tidak salah sebenarnya seseorang itu makan makanan segera, cuma kalau boleh, belajar kawal nafsu. Paling banyak pun, mungkin sebulan cuma sekali atau dua kali.

Namun lebih baik hentikan amalan itu. Jika makan makanan segera, jangan lupa bersenam. Ini wajib! Kandungannya yang kurang berkhasiat mengambil masa lama untuk dicernakan. Dengan bersenam, mungkin kita boleh mempercepatkan proses itu. Lebih macam ‘cheat day’lah konsepnya.

Silap siapa? Adakah media? Adakah pihak pengusaha makanan segera atau salah diri sendiri? Lofa tak mahu salahkan sesiapa dalam isu ini. Bagi Lofa, segala-galanya di tangan kita. Jika sayangkan diri kita, kita mesti boleh lawan keinginan makan makanan segera.

Kalau ikutkan, banyak lagi keburukan pengambilan makanan segera secara kerap. Bagi mereka yang masih menuntut, makanan segera mengandungi bahan MSG yang dipercayai boleh mengganggu perkembangan otak dan minda.

Seperkara lagi, bagi mereka yang berniat berjimat cermat dan menabung, elak makanan segera. Harganya jauh lebih mahal daripada makanan biasa. Bayangkan banyak mana wang yang anda dapat jimat jika berjaya menyekat nafsu terhadap makanan segera.

Tipulah jika Lofa katakan Lofa tidak pernah tergila-gilakan makanan segera. Pernah dan teruk juga sebenarnya, tetapi syukur Lofa cepat sedar. Ketika itu Lofa cepat rasa mengah dan kerap jatuh sakit.

Bagaimana Lofa dapat atasi tabiat itu? Senang saja. Pertama, Lofa padam semua nombor operator perkhidmatan penghantaran makanan segera. Kedua, Lofa kurangkan kekerapan berkunjung ke pusat beli-belah. Ketiga, Lofa selalu makan di rumah Mama. Bila kenyang, Lofa tidak perlu fikir lagi mengenai makanan.

Seperkara lagi, jangan cepat terpengaruh dengan apa yang anda lihat dalam iklan. Memang betul makanan segera sedap dan memudahkan. Melalui iklan, ia seakan-akan menjanjikan ‘kegembiraan’ buat anda.

Namun di zaman serba pantas dan mencabar ini, kesihatan harus menjadi keutamaan! Kalau jatuh sakit, siapa yang susah? Pendek kata, pilihan terletak di tangan kita.

Sebelum Lofa akhiri penulisan minggu ini, Lofa mahu ucapkan jutaan penghargaan buat mereka yang mengundi Lofa untuk Anugerah Bintang Popular. Lofa sangat terharu dan terhutang budi atas jasa baik dan pengorbanan kalian.

Seperkara lagi, Lofa juga nak ucapkan tahniah kepada Hanis Zalikha, Rozita Che Wan, Elfira Loy dan Zulin Aziz yang khabarnya berhijab penuh. Alhamdulillah, mari buktikan dengan berhijab penuh kita masih mampu meneruskan kerjaya sebagai anak seni.

Sekian daripada saya. Assalamualaikum!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 1:54 AM