Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Selepas melalui detik cemas dalam kancah Liga Super musim ini, Perak mengorak langkah dalam usaha memperkuatkan pasukan dengan mendapatkan khidmat beberapa pemain yang mempunyai nama besar musim depan.

Justeru tidak hairan jika Bos Gaurus juga kini sanggup berbelanja besar dan menyertai pasaran pembelian pemain bagi memastikan Seladang turun selaku pencabar digeruni.

Sumber rapat dengan pasukan Perak berkata, penyerang kebangsaan, Bobby Gonzales yang mewakili pasukan juara Liga Perdana musim ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah antara calon yang diintai.

“Bobby salah seorang daripada pemain ternama yang akan menyertai Perak. Ada beberapa lagi, tapi saya tidak pasti nama mereka,” kata sumber itu.

Perak membuat persiapan awal bagi menghadapi musim baru dengan melantik jurulatih baru, Vjeran Simunic dari Croatia.

Pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai sebarang spekulasi kerana mahu melengkapkan dulu proses pengambilan pemain.

“Tunggu dan lihatlah dulu. Saya tidak boleh menyatakan apa-apa setakat ini. Bila lengkap senarai pengambilan pemain barulah akan diumumkan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:08 AM