Oleh Sarah Zulkifli


Shah Alam : Tuntutan saman RM100 juta difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang dibunuh kejam sebelum mayatnya diletupkan pada 2006, berkemungkinan akan dipinda semula berdasarkan keterangan terbaharu yang terkandung dalam rekod Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Ramkarpal Singh Deo yang mewakili bapa kepada Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Setev dan tiga lagi ahli keluarga berkata, pihaknya menerima rekod keterangan berhubung kes itu dari Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu.

"Banyak rekod yang diterima, justeru kami memerlukan masa untuk membuat keputusan sama ada mahu meminda saman itu, tapi berkemungkinaan besar pindaan akan dibuat," katanya ketika ditemui selepas selesai pengurusan kes saman itu di hadapan Timbalan Pendaftar Asyida Abd Rahim@Ibrahim.

Ramkarpal berkata, Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 23 April depan bagi pengurusan kes saman berkenaan.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh model warga Mongolia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 1:12 PM