ALTANTUYA Shaariibuu
ALTANTUYA Shaariibuu
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, menangguhkan keputusan kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu pada 19 Oktober ini.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh baharu itu atas permohonan keluarga berkenaan selaku plaintif.

Peguam bela plaintif, Sangeet Kaur Deo ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.

"Ya, betul (keputusan kes saman ditangguhkan) kerana hujahan bertulis lewat dimasukkan dan diberikan kepada mahkamah.

"Ia disebabkan seorang peguam kami dan anak saya disahkan positif Covid-19 beberapa minggu lalu," katanya.

Pada 20 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini untuk keputusan kes saman berkenaan selepas saksi plaintif dan defendan selesai memberi keterangan.

Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.

Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Mahkamah menetapkan 20 Jun lalu untuk plaintif memfailkan hujahan dan 20 Julai lalu bagi defendan menjawab hujahan itu serta 4 Ogos lalu untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas.

Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.

Defendan pula iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:29 PM